SEPANG: Isteri bekas Penasihat Pertahanan di Kedutaan Turki di Malaysia dihukum denda RM8,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari atas tuduhan memiliki peluru hidup di Lapangan Terbangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), September lalu.

Majistret Yusna Khadijah Md Yusop menjatuhkan hukuman itu selepas Fatma Nilufer Senyuva, 62, menukar pengakuan kepada bersalah memiliki 18 butir peluru hidup bersaiz kecil tanpa kebenaran yang sah di Pintu C15, Balai Pelepasan Antarabangsa KLIA di sini, pada jam 10.43 malam, 20 September.

Senyuva dituduh di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Sebelum ini, Senyuva mengaku tidak bersalah ketika pertama kali didakwa pada 25 September lalu.

Wanita berkenaan menetap di Malaysia selama 24 tahun selepas suaminya bersara daripada perkhidmatan Tentera Laut Turki pada 1994.

Pasangan itu merupakan peserta program ‘Malaysia My Second Home’ dan dalam proses mendapatkan taraf penduduk tetap negara ini.

Semasa rayuan, peguam tertuduh Zaflee Pakwanteh, berkata pada hari kejadian anak guamnya mencapai beg milik suaminya tanpa menyedari terdapat peluru di dalamnya kerana tergesa-gesa mahu pulang ke Turki setelah mendapat berita bapa mentuanya meninggal dunia.

“Pada masa itu anak guam saya dalam perjalanan pulang ke Turki berseorangan kerana suaminya sudah berada di sana lebih awal,” katanya.

Zaflee turut mengemukakan surat yang menjelaskan peluru hidup yang ditemui pada Senyuva dihasilkan sebelum 1950 dan sudah melepasi tarikh luput serta tidak lagi berfungsi dengan sempurna.

Surat berkenaan dikeluarkan oleh agensi pengeluar peluru, senjata dan bahan letupan milik kerajaan Turki yang beribu pejabat di Ankara dan merupakan pembekal utama bagi Tentera Turki .

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Aziatul Afrizan Alias, meminta hukuman yang setimpal kerana pemeriksaan oleh Unit Pemusnah Bom KLIA mendapati peluru hidup itu boleh berfungsi dengan baik jika digunakan dengan betul.

Senyuva, yang hadir di mahkamah ditemani suaminya, menantu perempuannya yang merupakan warga Malaysia dan wakil Kedutaan Turki di Malaysia, kelihatan tenang sepanjang prosiding berlangsung dan membayar denda yang dikenakan. – BERNAMA