KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan (Mindef) akan melaksanakan program tuisyen berpusat dan tuisyen dalam talian untuk anak-anak tentera dan veteran tentera.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata pelaksanaan inisiatif itu merupakan sebahagian daripada usaha dan pendekatan untuk memperkasakan lagi agenda pendidikan kementerian.

“Melalui pelaksanaan inisiatif ini, seramai 1,784 calon Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR); 1,312 calon Pentaksiran Peperiksaan Tingkatan 3 (PT3) dan 836 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan dapat menikmati kemudahan bimbingan pelajaran secara maya.

“Sebanyak 45 pusat tuisyen pula diwujudkan di kem-kem tentera seluruh negara bagi membimbing pelajar-pelajar yang tidak mengambil peperiksaan utama,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan ATM ke-27 di Wisma Perwira ATM, di sini.

Hishammuddin berkata kemudahan itu bukan sahaja bakal dinikmati oleh anak-anak warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tetapi juga anak-anak orang awam yang belajar di sekolah-sekolah di dalam kem ATM.

Beliau berkata inisiatif itu tidak akan melibatkan kos yang tinggi serta tidak membebankan ibu bapa kerana hasil perbincangan dan rundingan bersama syarikat pengendali, mereka bersetuju mewujudkan kaedah perkongsian pengenalan pengguna tanpa menjejaskan pakej pembelajaran yang disediakan.

“Jika mengikut harga biasa, setiap pelajar perlu membayar sebanyak RM360 setahun, namun hasil persetujuan yang dicapai, Mindef berjaya mengurangkan kos bayaran yuran tahunan setiap pelajar kepada RM150 sahaja,” katanya.

Hishammuddin berkata kementeriannya akan mengumumkan beberapa lagi inisiatif pendidikan dalam masa terdekat.

“Antara inisiatif yang dicadangkan ialah melaksanakan pembangunan infrastruktur dan kemudahan di sekolah-sekolah di dalam kem ATM, melancarkan Tabung Amanah Pendidikan Mindef, pelaksanaan bantuan persekolahan, dan menaik taraf sekolah dalam kem-kem ATM kepada sekolah kluster kecemerlangan,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu Ketua Setiausaha kementerian Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi, Panglima ATM Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, Panglima Tentera Darat Jen Datuk Seri Zulkiple Kassim, Timbalan Panglima Tentera Laut Laksamana Madya Datuk Anuwi Hassan dan Timbalan Panglima Tentera Udara Lt. Jen Datuk Seri Ackbal Abdul Samad.

— BERNAMA