IPOH – Minggu Fesyen Perak – Ready to Walk 2018 yang bakal berlangsung 25 November ini menyaksikan kepelbagaian busana kreatif daripada enam pereka fesyen tempatan.

Figura fesyen yang terlibat adalah Melvin Chan dari Makeup Art Academy, Lester Yim (Lester Yim Couture), Suhana Abu Bakar (S Ash), Intan Nadeera Zuhuri (Siss On Bare), Sharifah Melissa Ashikin (Myasoka) dan Angie.

Pengarahnya, Melvin berkata, kesemua pereka fesyen yang terlibat merupakan anak tempatan yang akan memaparkan koleksi busana mengikut tema tersendiri.

Menurutnya, program itu menyaksikan sejarah tersendiri apabila ia menggunakan landasan (runway) sepanjang 60 meter.

“Seramai 20 model profesional akan mengenakan busana dari setiap pereka fesyen dan menggayakannya sejauh 200 kaki, dan runway ini adalah terpanjang dalam negara.

“Minggu Fesyen Perak kali ini akan mempamerkan kepelbagai rekaan fesyen moden dari setiap pereka umpamanya Siss On Bare yang akan mempersembahkan koleksi berinspirasikan jalur,” katanya dalam sidang media di Villa Rina di sini, hari ini.

Melvin berkata, pihaknya menyasarkan kehadiran lebih 1,000 pengunjung pada program yang dijalankan secara terbuka dan percuma kepada orang ramai.

“Penganjuran ulung yang dihadiri 500 tetamu kenamaan akan memberi inspirasi kepada kesemua pereka fesyen untuk lebih berani menguasai pentas peragaan. Turut hadir, Datuk Seri Raja Azureen Azlan Shah,” katanya.

Sementara itu, Suhana berkata, S Ash akan melancarkan koleksi sulungnya, pakaian wanita yang mempunyai sentuhan maskulin pada minggu fesyen itu.

“Kami mereka pakaian terbaik wanita dengan elemen butang untuk meletakkan unsur maskulin pada rekaan terbabit selain skim warna musim sejuk yang menyerlahkan lagi kecantikan semula jadi seorang wanita,” katanya – sinar