IPOH – Pengusaha premis pesta ria yang berlangsung di sekitar bandar raya ini dikenal pasti menyediakan permainan ala mini kasino.

Ketua Urusetia Pusat Khidmat Aduan BN Perak, Mohd Rawi Abdullah berkata, aktiviti dikesan hasil pemantauan yang dijalankan pihaknya sejak minggu lalu.

Menurutnya, pengusaha premis cuba mengaburi mata pihak berkuasa kononnya mereka menyediakan permainan untuk kanak-kanak di dalam premis berkenaan sebaliknya permainan disediakan tidak berfungsi.

“Sebelum ini, kita berasa lega apabila arked permainan video yang menjalankan aktiviti judi haram berjaya dibanteras pihak berkuasa, namun kini terdapat pihak tidak bertanggungjawab yang menggunakan tapak premis itu untuk menjalankan aktiviti perjudian.

“Saya terima aduan daripada penduduk di sekitar kawasan perumahan yang mendakwa premis berkenaan sesak dengan kenderaan yang di parkir sesuka hati selain operasi melebihi had masa dibenarkan.

“Perkara ini dilihat saya sendiri ketika meninjau premis berkenaan pada jam 10 malam dan sehingga jam 1 pagi operasi masih diteruskan,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Katanya, pihak berkuasa tempatan (PBT) sepatutnya memeriksa premis berkenaan dengan teliti sebelum memberi lesen.

“Kebanyakan pesta ria yang dikunjungi dipercayai beroperasi lebih setahun dan peralatan permainan disediakan juga sudah berkarat malah ada yang tidak berfungsi.

“Mini kasino itu menyediakan pelbagai jenis permainan judi, antara yang terkenal adalah judi ping pong. Hanya bermodalkan cip berharga RM1 sekeping, orang ramai sudah boleh menyertai permainan tersebut,” katanya.

Katanya, pihak berkenaan perlu bertanggungjawab untuk memastikan pengusaha pesta ria tidak menyalahgunakan lesen yang diberikan untuk tujuan tidak bermoral ini.

-Sinarharian