KUALA KANGSAR: Tindakan Pakatan Harapan meminta bantuan media luar untuk menjatuh kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah suatu pengkhianatan terhadap negara.

Tindakan itu juga dianggap melanggar prinsip sistem demokrasi berparlimen yang diamalkan Malaysia sejak merdeka lagi.

Pengerusi Barisan Nasional Sungai Siput, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, pentas yang sepatutnya digunakan oleh pembangkang ialah Pilihan Raya Umum ke – 14, bukannya meminta campur tangan asing.

“Pada saya, ini satu perkara yang tidak sepatutnya berlaku, apatah lagi bekas pemimpin negara yang saya kira berasaskan kepada kepentingan peribadi.

“Menggunakan media asing ini merupakan suatu perkara yang keterlaluan dan pada saya, saya ulang lagi adalah merupakan pengkhianat kepada negara,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran program Kembara Kebajikan 1 Malaysia (KK1M) di Karai, sekat sini, pada Rabu.

Pengerusi Pakatan Harapan selaku Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad membuat pengakuan bahawa mereka telah meminta bantuan media luar untuk menimbulkan perkara berkaitan dengan 1MDB.

Beliau mendakwa bahawa pakatan berkenaan terpaksa berbuat demikian kerana media tempatan tidak melaporkan mengenai perkara tersebut.