IPOH: Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Perak meminta Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi orang tengah membantu menyelesaikan isu pindaan peraturan pertubuhan peladang 2019.

Sebagai seorang pejuang demokrasi tulen, bakal Perdana Menteri kelapan itu dilihat boleh membantu menyelesaikan kemelut yang menghantui lebih sejuta ahli pertubuhan peladang di seluruh negara.

Pengerusi PPN Perak, Datuk Nadzri Ismail berkata, mereka yakin, Anwar boleh membantu Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam isu tersebut.

“Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah tokoh yang dikatakan tokoh reformasi, bekas Menteri Pertanian, dan beliau juga membawa konsep Malaysia baru dalam perjuangannya yang penuh dengan demokrasi tulen dan demokrasi muslim.

“Jadi kita minta juga, selain daripada Perdana Menteri, supaya Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai bakal perdana menteri yang kelapan supaya mengambil berat tentang ini ataupun menjadi orang tengah dalam hal ini,” katanya.

Beliau ditemui selepas perhimpunan aman membantah pindaan Peraturan Pertubuhan Peladang 2019 di Ipoh pada Selasa.

Hadir sama Pengerusi PPN Kelantan yang juga Ahli Jemaah Pengaran (AJP) Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), Datuk Abdul Aziz Derashid.

Nadzri berkata, PPN Perak meminta semua 30 pertubuhan peladang kawasan di negeri itu menangguhkan mesyuarat agung mereka sementara menunggu kes saman isu berkenaan yang dibawa PPN Kelantan.

Sementara itu, Abdul Aziz berkata, pihaknya akan memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi Kota Bharu pada Rabu atau Khamis hadapan.

Menurutnya, saman itu menamakan tiga defendan iaitu Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani. Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang dan Kerajaan Malaysia.