KAMPUNG GAJAH – “Ma, kita nak pergi ni. Kita pergi dulu ya ma.”

Itulah ungkapan terakhir seorang pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Abdul Jalil Shah, di sini, kepada ibunya sebelum maut dihempap khemah ketika menjamu selera di sebuah rumah kenduri di Kampung Bukit Chawi, kelmarin.

Muhamad Khairul Syamril Sauffi, 13, ketika itu berada di bawah khemah bersama seorang adiknya serta dua rakan lain sebelum sebatang pokok kelapa tumbang ke atas khemah berkenaan lalu menghempap mangsa.

Sinar Harian hari ini melaporkan, ibu mangsa, Hafizah Paed, 33, memberitahu, sebelum kejadian, anak sulung dari enam beradik itu meminta izin untuk ke rumah jiran mereka yang mengadakan kenduri tahlil tidak jauh dari rumah mereka.

“Sebelum itu, saya baru balik dari kenduri itu dan dia minta izin saya untuk ke sana pula. Mulanya saya keberatan untuk benarkan dia pergi kerana ketika itu hujan, malah tetamu lain dah balik.

“Tapi dia mahu juga pergi dan saya pesan supaya cepat pulang. Dia sempat berkata kepada saya, ‘ma, kita pergi dulu ya’ sebanyak dua kali,” katanya.

Katanya, malang tidak berbau apabila anaknya dihempap khemah apabila ada sebatang pokok kelapa sawit yang berusia lebih kurang 20 tahun tumbang di atas khemah itu.

IMG-20171009-WA0013“Saya memang terkejut bila dapat tahu perkara itu kerana baru saja dia pergi dari rumah.

“Kami memang rasa kehilangan sangat-sangat kerana dia seorang anak yang boleh diharapkan, terutama bila jaga adik-adiknya. Walaupun begitu sedih dengan kehilangan ini kerana kami baru sahaja kehilangan oyangnya dua hari lepas namun kami reda,” katanya.

Sementara itu, adik mangsa, Mohamad Shahril, 12, berkata, ketika kejadian dia bersama abangnya serta dua lagi rakan mereka baru sahaja mahu menjamu selera.

“Kami baru saja mahu makan tiba-tiba ada pokok kelapa sawit tumbang mengenai khemah lalu hempap kami. Namun abang lebih teruk kerana kepalanya terkena pokok dan besi khemah. Dia jatuh seperti bersujud.

“Saya hanya luka kecil sahaja manakala dua lagi rakan turut cedera dan mendapat rawatan di hospital,” katanya.

Kata Mohamad Shahril, abangnya tidak menunjukkan sebarang perubahan kecuali berpesan kepadanya supaya mengemas rumah selepas selesai makan kenduri.

Semalam, Suara Perak melaporkan pokok sawit yang tumbang dalam kejadian yang berlaku pada jam 2.25 petang itu menghempap Muhamad Khairul Syamril mengakibatkan dia cedera parah di kepala dan disahkan meninggal dunia ketika dibawa ke Klinik Kesihatan Ulu Dedap.