SERI ISKANDAR: Pengawal keselamatan ditemui maut dipercayai ditembak rakan setugas di sebuah kilang ubat di Taman Farmasi di sini, malam tadi, sempat membelikan dan menikmati cendol bersama suspek pada hari kejadian.

Mangsa yang juga Orang Asli, Masri Pandak, 37, dikatakan membeli cendol untuk suspek berusia 52 tahun dan seorang lagi rakan berumur 57 tahun sebelum minum bersama, malah ketiga-tiga lelaki itu bertugas pada syif sama.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah, berkata mangsa memulakan tugas pada jam 3 petang semalam dengan syif tamat jam 11 malam.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa dan suspek memiliki hubungan baik, namun tidak menolak kemungkinan berlaku perselisihan faham atau masalah peribadi sebelum kejadian.

“Kita tidak mendapat maklumat lagi jika mereka ada bergaduh atau berselisih faham. Siasatan awal mendapati mereka ada hubungan baik tetapi kita tidak mengetahui apa yang berlaku.

“Kejadian itu bukan berunsurkan samun kerana barang milik mangsa tidak hilang dan tiada tanda pergelutan. Namun, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengetahui punca sebenar kejadian,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Mohamad Zainal berkata, polis kini giat mengesan suspek yang menghilangkan diri selepas kejadian di balai pengawal kilang terbabit.

“Semakan mendapati suspek memiliki rekod kesalahan lampau membabitkan kes curi. Polis juga memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) untuk siasatan lanjut,” katanya.

Mohamad Zainal berkata, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dalam kejadian antara jam 7.30 hingga 8 malam itu, Masri ditemui maut dengan kesan satu das tembakan di dada kiri.

Tembakan dipercayai dilepaskan oleh rakan sekerja mangsa menggunakan pistol milik suspek pada jarak dekat, manakala satu kelongsong dan satu anak peluru ditemui di lokasi kejadian.

Mayat mangsa dikatakan ditemui di lantai pondok pengawal oleh seorang lagi rakan setugasnya yang kemudian melaporkan perkara itu kepada polis – berita harian