BATU GAJAH: Laporan awal mendapati dua lelaki, masing-masing warga Bangladesh dan Myanmar yang maut disebabkan keracunan metanol, dipercayai berpunca dari minuman keras tiruan yang diambil mangsa.

Lelaki Myanmar yang dikenali sebagai Than Hta Young, 40, dipercayai membeli minuman keras di Pusing, dekat sini, manakala warga Bangladesh yang belum dikenali, dipercayai membelinya di Menglembu, Ipoh.

Kes kematian lelaki Bangladesh disiasat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh manakala kes warga Myanmar disiasat IPD Batu Gajah.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kematian lelaki Myanmar itu, kira-kira jam 10 pagi melalui anggota polis yang bertugas di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh.

Menurutnya, Ketua Balai Polis Pusing telah membuat pemeriksaan dan siasatan.

“Hasil siasatan dipercayai mangsa meninggal dunia disebabkan oleh keracunan, berpunca dari minuman keras yang diambil oleh mangsa,” katanya di sini.

Bagaimanapun, katanya, sumber minuman keras yang diperolehi oleh mangsa belum diketahui dan siasatan masih diteruskan.

Terdahulu, Pengarah Kesihatan Negeri Perak, Datuk Dr Ding Lay Ming berkata, kedua-dua mangsa dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) HRPB pada 28 April lalu, setelah mengalami gejala kabur penglihatan, loya, muntah, sakit perut dan kurang sedar selepas minum minuman beralkohol.

Menurutnya, kedua-dua kes dilaporkan berada di dalam keadaan kritikal semasa dimasukkan ke hospital dan meninggal dunia awal pagi ini.