PUTRAJAYA: Penggunaan minyak kanabis hanya dibenarkan untuk membuat penyelidikan dan bukan untuk digunakan dalam rawatan alternatif kepada pesakit.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, penggunaan dadah dalam penyelidikan boleh dipertimbangkan, bagaimanapun kementerian masih tidak mempunyai data yang mencukupi bahawa dadah berkenaan boleh digunakan dalam rawatan perubatan.

Beliau berkata, sehingga kini tiada data bahawa penggunaan kanabis berkenaan mampu merawat apa-apa penyakit serta penggunaan dadah terbabit hanya boleh dibuktikan melalui penyelidikan semata mata.

“Kita mengikut apa yang dinyatakan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 di mana kanabis hanya boleh digunakan dalam penyelidikan. Untuk rawatan, tiada seorang pun doktor menggunakan kaedah itu bagi merawat pesakit. Dalam sektor perubatan di negara ini, kanabis tidak digunakan untuk rawatan,” katanya ketika ditemui media di sini, hari ini.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar, membangkitkan mahu membuat rayuan terhadap kes membabitkan seorang lelaki yang juga pengamal perubatan alternatif, Muhammad Lukman Mohamad, 29, yang dijatuhi hukuman mati, kepada Peguam Negara, Tommy Thomas.

Muhammad Lukman didakwa memiliki, memproses serta mengedar minyak kanabis dan didakwa mengikut Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya 1952 sebelum dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 30 Ogos lalu.

Dia yang ditahan bersama isterinya yang hamil di rumah mereka pada Disember 2015 difahamkan memberikan rawatan alternatif menggunakan ganja dalam bentuk cecair kepada 800 pesakit – berita harian