KUALA KANGSAR: Pengguna Lebuhraya Utara Selatan menuju ke Utara terperangkap dalam kesesakan lalu lintas sejauh 20 kilometer berikutan kemalangan melibatkan sebuah lori treler pada Kilometer 258.3 dekat twrowong Menora.

Kesesakan yang berlaku sejak pukul empat petang itu difahamkan berlaku berikutan insiden sebuah lori tanker yang terbabas di lorong kiri lebuhraya dan menyebabkan tumpahan minyak.

Malah, kesesakan yang berlaku hampir empat jam bermula sekitar 4 petang menyebabkan ramai netizen meluahkan keluhan mereka di laman sosial.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar,Pegawai Bomba Kanan II Mohd Halim Md Sega berkata pihaknya menerima panggilan mengenai insiden itu sekitar pukul 4.34 petang.

“Setibanya di tempat kejadian kami mendapati kemalangan itu melibatkan sebuah lori yang terbabas ke tepi jalan dan minyak tumpah dari lori tersebut berikutan insiden itu.

“Sebuah kenderaan dan motosikal juga terbabas disebabkan minyak di atas jalanraya,mangsa telah dibawa ke hospital oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan Bomba,”katanya ketika dihubungi.

Difahamkan, kerja-kerja pembersihan sedang dijalankan dan dijangka tamat sekitar pukul 8 malam.

Menurut laman Twitter PLUS, sehingga jam 7.32 petang lorong kiri lebuhraya masih lagi ditutup bagi kerja-kerja pembersihan.