Ahli Parlimen Miri, Dr Micheal Teo Yu Keng yang mendedahkan isu itu berkata, situasi itu kini membelenggu industri perikanan laut dalam di perairan Sarawak.

Beliau berkata, sejak pembekuan lesen perikanan laut dalam dilakukan kerajaan negeri terhadap nelayan Vietnam dan Thailand, penceroboh mengubah taktik operasi mereka.

“Terbaru, jam 11 pagi, 27 Mei lalu, sekumpulan pemancing Malaysia yang memancing di perairan Baronia terserempak tujuh kapal nelayan asing yang pernah ditahan sebelum ini menangkap ikan secara tunda ganding.

“Kegiatan haram yang pernah disiarkan media ini amat mendukacitakan saya dan tidak sepatutnya dibiarkan,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Yu Keng yakin nelayan yang menangkap ikan secara haram itu menggunakan satu lesen seperti pernah dilakukan sebelum ini.

Beliau berkata, perbuatan menangkap ikan di kawasan perairan Sarawak menggunakan kaedah haram itu harus dibanteras segera.

Katanya, pihak berkuasa tempatan, khususnya Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) perlu bertindak pantas menangani isu itu.

“Jangan biarkan khazanah marin kita sudah musnah atau hilang, barulah mula bertindak serius menangani kes ini,” katanya sambil menambah isu itu akan dibawa ke peringkat Kabinet untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Pengarah Maritim Malaysia Miri, Kapten Mohd Fauzi Othman, berkata pihaknya akan menyiasat isu itu dan meminta pemancing yang terserempak dengan aktiviti mencurigakan melaporkannya kepada Maritim Malaysia.

Beliau berkata, langkah itu perlu untuk memudahkan tindakan pantas diambil terhadap nelayan yang dikesan berbuat demikian – berita harian