KUALA LUMPUR: “Misi itu amat penting untuk saya. Bukan hanya kerana ada mayat di situ, tetapi siapa mayat itu,” kata bekas Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Jeneral (B) Tan Sri Abdullah Ahmad.

Mata Abdullah yang kini Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) mula berkaca apabila berkongsi pengalaman pertempuran di lokasi panas komunis di Sungai Ruan, Raub, Pahang, 42 tahun lalu.

Ketika itu, beliau yang bertugas sebagai juruterbang helikopter ‘Aloutte’ dan berpangkat kapten di Pangkalan Udara TUDM Sungai Besi, diarah untuk menerbangkan pulang tiga mayat tentera yang terkorban di lokasi itu termasuk seorang rakannya sendiri.

“Kapten Nathan (ketua ketumbukan tentera dikepung komunis) daripada 2 Renjer ialah sahabat saya. Kami satu kompeni ketika latihan dulu, ditauliahkan bersama melalui TJP (Tauliah Jangka Pendek) ‘Batch’ 13 (TJP13).

“Dia masuk Tentera Darat, saya pula TUDM jadi juruterbang helikopter. Panglima Tentera Udara ketika itu, (arwah) Tan Sri Mohd Ngah Said panggil saya. Dia kata ‘Dollah, ini maruah TUDM’.

“Tentera Darat minta kita bawa keluar mayat itu hari ini. Walau dengan apa dan cara mana sekalipun, kamu mesti sempurnakan misi. Kalau dia tidak cakap masa itu, memang saya mahu pergi (ke lokasi pertempuran).

“Misi ini amat penting untuk saya, bukan hanya kerana ada mayat, tetapi siapa mayat itu,” katanya sebak ketika ditemubual BH.

Temu bual awalnya hanya berkisar mengenai majlis makan malam perjumpaan semula sempena ulang tahun ke-50 TJP13 di Royal Lake Club, pada 10 Februari ini, selepas 50 tahun 120 anggota dan pegawainya terpisah.

Abdullah tidak pernah menceritakan insiden 42 tahun lalu itu, berkongsi peristiwa beliau bertemu kembali dengan bekas rakan sepelatih di medan pertempuran, namun dalam bentuk jasad yang sudah meninggal dunia.

Ketika insiden pada 1976 itu, Abdullah diarah mengambil tiga mayat anggota tentera yang terkorban pada hari kedua pertempuran selepas pasukan wira negara, dikepung komunis.

“Kebetulan hanya helikopter saya boleh masuk kawasan itu, Nuri terlalu besar. Kawasan masuk itu tiada tempat pendaratan. Helikopter kita juga tiada gunship (helikopter pengiring bersenjata), tetapi dalam hati, saya mesti selesaikan tugas ini,” katanya.

Cubaan membawa keluar mayat rakannya itu bukan mudah kerana beliau tidak boleh mendarat.

Bersama-sama seorang lagi anggota dalam helikopter, Abdullah menggunakan teknik winching untuk mengangkat dan membawa keluar mayat dari lokasi.

Abdullah berkata, walaupun tembakan komunis tidak lagi kedengaran selepas kumpulan musuh dipercayai beredar dari lokasi pertempuran, kebanyakan tentera ketika itu tetap meniarap dan menjaga mayat rakan terkorban.

“Selepas dapat mayat dia (Nathan), sampai sekarang saya rasa sedih. Ketika itu, sampai mendarat (di Pangkalan Udara TUDM Sungai Besi) pun, saya tidak sedar air mata mengalir keluar,” katanya.

Mereka berdua ialah rakan sepasukan dari Kompeni Alam Syah ketika menjalani latihan menerusi TJP13 pada Februari hingga September 1968 dan hanya bertemu dalam misi menyayat hati itu selepas lapan tahun memilih laluan masing-masing dalam tentera.

“Masa dalam kadet, tak kira bangsa atau agama, semua macam adik-beradik,” katanya lagi yang juga pegawai tertinggi ditauliahkan menerusi TJP13 sehinggalah menerajui TUDM selama dua tahun dan bersara pada 2004.

Sementara itu, veteran tentera yang ditauliahkan menerusi TJP13 pada 1968 atau sesiapa yang mengenali mereka, diminta menghubungi Leftenan Kolonel (B) Mohan S Rendhawa di talian 017-8889512 untuk urusan berhubung majlis perjumpaan semula pada 10 Februari ini. -BeritaHarian