SELAMA: Objektif Jelajah Pendidikan Bumiputera dalam memastikan pelajar luar bandar mempunyai peluang kedua dalam melanjutkan pengajian dilihat tercapai dengan sambutan yang cukup memberangsangkan.

Pengerusi Jawatankuasa Induk Jelajah Pendidikan Bumiputera, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Sahol Hamid Abu Bakar berkata, pihaknya mensasarkan sebanyak 50,000 pelajar bagi tawaran tempat pengajiwn dan ianya telah melepasi sasaran sedia ada.

“Kami menjangkakan, esok (Ahad) jumlah keseluruhan mencecah 60,000 tawaran dan ini membuktikan inisiatif program ilham oleh Perdana Menteri ini telah mencapai matlamat sebenar.

“Matlamat kita jelas dan nyata, iaitu memberikan panduan, bimbingan dan saluran agar adanya peluang kedua khususnya kepada anak-anak daripada keluarga kurang berkemampuan dan luar bandar yang terpisah berikutan jarak ke bandar utama,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena Karnival Pengguna: Jelajah Pendidikan Bumiputera yang dijalankan bersama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan di Dewan SMK Datuk Haji Hussein, di sini pada petang Sabtu.

Kata beliau, sebanyak 13 rakan strategik serta 18 universiti awam telah mengambil bahagian dalam Jelajah Pendidikan Bumiputera 2017 di Selama dan angka tersebut dijangka meningkat dari masa ke masa.

Jelas Ir Sahol, pihaknya turut menjangka sebanyak 75,000 hingga 80,000 calon akan berpeluang untuk melanjutkan pengajian memandangkan masih terdapat lebih daripada 15 tempat menjelang tamatnya program itu pada akhir bulan Mei.

Turut hadir, Menteri Perdagangan, Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainuddin merangkap Ahli Parlimen Larut.

Dalam pada itu, Sahol berkata, setiap universiti awam menyediakan 200 tempat untuk pelajar miskin yang ingin melanjutkan pengajian.

“Program ini adalah cetusan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dimana ianya bertujuan membantu meramaikan lagi anak-anak bumiputera di luar bandar serta miskin untuk berjaya ke menara gading,” katanya.