Oleh:Nazialita Geynna Maharan

SERI ISKANDAR: Masalah kehilangan baja tanaman dan racun sawah yang membelenggu petani di sekitar Kampung Chawi, Jejawi dekat sini terjawab dengan tertangkapnya tiga lelaki termasuk dua adik beradik minggu lepas.

Ketiga-tiga saspek berumur 22, 26 dan 31 ditangkap Selasa lepas di mana polis merampas baja tanaman dan racun sawah bernilai RM33,755.

 imageKetua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata saspek ditangkap semasa serbuan ke atas sebuah rumah jam 11 malam di mana mereka sedang khayal di bawah pengaruh dadah methampetahim.

Menurutnya, polis turut merampas sebanyak 17 jenis racun dan baja tanaman yang dipercayai dicuri sewaktu menjalankan aktiviti pecah rumah dan stor.

Zainal berkata, hasil siasatan selepas serbuah di rumah saspek, polis berjaya menjejak dan menangkap dua orang pembeli racun dan baja itu di kawasan perumahan di Chui Chak, Langkap, dekat sini yang menyimpan barangan tersebut.

Kata beliau dua lelaki ini kemudiannya menjual baja dan racun curi ini dengan harga murah kepada petani di Chui Chak.

Tambahnya, rampasan racun tersebut terdiri daripada 157 botol dan 11 paket jenis racun dan baja yang dianggarkan bernilai RM14,147.

“Polis percaya masih terdapat banyak racun dan baja tanaman masih belum dirampas yang dianggarkan bernilai RM19,608 berikutan nilai keseluruhan kerugian daripada enam laporan kecurian sebanyak RM33,755.

“Kumpulan ini dikenali sebagai Along Musa dan mereka dipercayai aktif dengan kegiatan curi racun, baja, pecah rumah dan curi sawit sejak tiga tahun lalu,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Perak Tengah di sini pada pagi Isnin.

Menurut Zainal, mengikut harga pasaran, kesemua racun dan baja itu dijual pada harga RM85 hingga RM129 dan mereka menjual hasil curi itu kepada pembeli separuh lebih murah berbanding harga asal.

“Hasil siasatan mendapati, suspek memecah masuk kawasan stor milik pesawah untuk mencuri racun dan baja tanaman sebelum ia dijual kepada pembeli.

“Hasil ujian air kencing terhadap ketiga-tiga suspek mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine. Selain itu, mereka juga memiliki rekod lampau berkaitan kes dadah dan pecah rumah,” katanya.

Menurut Mohamad Zainal, dengan tertangkapnya ketiga-tiga suspek, polis percaya kes kecurian racun dan baja tanaman di sekitar daerah Perak Tengah dapat diselesaikan sepenuhnya.

Tambahnya, ketiga-tiga suspek kini ditahan reman selama seminggu bermula 20 Februari lalu hingga hari ini untuk membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan kesalahan pecah rumah, Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan Seksyen 414 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan atau menghapuskan harta curi.

Mereka turut disiasat mengikut Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952.