KAJANG: Misteri kehilangan seorang lelaki yang tiba-tiba ‘ghaib’ selepas dipercayai terbabit dalam kemalangan di Desa Sri Jenaris, di sini, terjawab apabila mayatnya ditemui di belakang perhentian bas di Sekolah Rendah Agama Sri Kantan 3, di sini, hari ini.

Difahamkan mayat mangsa yang juga jurugambar bebas dikenali sebagai Shafiq, 33, ditemui oleh orang awam yang kemudian memaklumkan penemuan itu kepada pihak polis.

Menurut kenalan mangsa yang enggan dikenali berkata, ahli keluarga Shafiq dimaklumkan mengenai penemuan kereta PERODUA Myvi miliknya kira-kira 500 meter dari kediamannya di Desa Sri Jenaris, di sini.

Katanya, bagaimanapun pemeriksaan ahli keluarga mendapati mangsa tiada di dalam kenderaan itu.

“Ahli keluarga Shafiq kemudian cuba mencarinya di kawasan sekitar, namun tidak berjaya menemuinya.

“Kira-kira jam 8 pagi itu, ahli keluarganya dimaklumkan dia ditemui meninggal dunia di belakang perhentian bas berhampiran sekolah rendah terbabit,” katanya ketika ditemui di Rumah Mayat Hospital Kajang, di sini, hari ini.

Kenalan mangsa turut memaklumkan ada pihak yang mendakwa menemui Shafiq dalam keadaan tersandar di perhentian bas kira-kira jam 5 pagi tadi.

“Berdasarkan keadaan kereta mangsa yang kemek teruk di bahagian depan akibat kemalangan itu, agak mustahil dia boleh berjalan kaki ke perhentian bas berkenaan sejauh empat kilometer dari lokasi kejadian.

“Apatah lagi jarak ke rumahnya lagi hampir berbanding lokasi kejadian. Kami pelik kenapa Shafiq berada di situ padahal dia boleh balik terus ke rumahnya untuk meminta pertolongan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung penemuan mayat lelaki itu pada jam 7.40 pagi di perhentian bas berhampiran sekolah terbabit di Sungai Kantan, di sini.

“Mangsa ditemui dalam keadaan terlentang dan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Siasatan mendapati ada seorang saksi melalui Jalan Desa Sri Jenaris melihat sebuah kereta PERODUA Myvi terbabas dan melanggar kaki lima perhentian bas di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahmad Dzaffir berkata, siasatan di perhentian bas di Desa Sri Jenaris mendapati terdapat kesan kemalangan berlaku di kawasan itu dengan kesan petrol tumpah dan kesan pelanggaran di kaki lima lokasi kejadian.

“Kami mendapati bumper hadapan kereta mangsa tercabut dan kedua-dua beg udara di bahagian pemandu dan penumpang turut terbuka sebelum kenderaan lelaki itu dibawa ke rumahnya.

“Jarak dari tempat kemalangan hingga ke lokasi penemuan mayatnya dianggarkan kira-kira sejauh kilometer,” katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan fizikal terhadap mangsa mendapati tiada sebarang kesan kecederaan akibat unsur jenayah.

“Hanya terdapat luka kecil di kedua-dua lututnya dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Kajang untuk bedah siasat. Kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sehingga mendapat keputusan bedah siasat,” katanya – berita harian