IPOH: Rakyat Perak, khususnya yang tinggal di sekitar Bandaraya Ipoh dinasihatkan supaya tidak panik dengan insiden bunyi letupan dan gegaran yang berlaku, semalam.

Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu berkata, meskipun belum menerima laporan tepat kejadian itu, keadaan negeri adalah terkawal dan selamat.

Menurut beliau, kerajaan negeri sedang mendapatkan pengesahan dan laporan terperinci mengenai insiden itu.

“Daripada maklumat kita terima, gegaran ini hanya dirasai di negeri ini, tetapi tiada apa yang perlu dibimbangkan kerana keadaan negeri adalah terkawal.

“Kita akan umumkan sebaik mendapat maklumat yang benar-benar tepat mengenai kejadian ini,” katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat Duta Besar Cuba ke Malaysia, Ibete Fernandez Hernandez di pejabatnya, di sini, hari ini.

Ahmad Faizal turut meminta orang ramai supaya berhenti daripada berkongsi maklumat yang tidak sahih mengenai kejadian tersebut.

Menurutnya, penularan maklumat yang belum sahih hanya menimbulkan rasa panik dan menakut-nakutkan rakyat.

“Saya minta orang ramai jangan terlalu mudah menularkan berita-berita tidak sahih yang tidak mendapat pengesahan kerajaan, ini hanya akan memberi satu gambaran keadaan negara kita tidak selamat,” ujarnya.