NAMA Menora sinonim dengan terowong di Lebuhraya Utara Selatan yang sering menjadi bualan ramai khususnya kisah aneh dan mistik, tidak terkecuali kemalangan yang membabitkan kematian tragis saban tahun.

Akan tetapi, masih ramai yang tidak tahu dengan kewujudan sebuah kampung bernama Kampung Menora yang terletak di Kuala Kangsar, berdekatan terowong tersebut.

Peristiwa pelik dan seram seperti kisah Volkswagen kuning serta bunian, menjadi topik bualan ramai, namun kesahihan cerita itu tidak dapat dipastikan kerana hanya disampaikan dari mulut ke mulut.

Menurut Ketua Kampung Menora, Azmi Jaafar, kawasan di sekitar terowong itu memang diakui ‘keras’ oleh kebanyakan pengguna jalan raya, malahan dia yang pernah bekerja sebagai penyelia PLUS selalu berhadapan dengan kes kematian di situ.

IMG_9796
Azmi (tengah) di samping Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung, Azmin Wafa Ismail (Kanan) dan Omi Kalsom Mohd Dahari.

“Sebelum dilantik sebagai Ketua Kampung di sini, saya bekerja sebagai penyelaras tol PLUS, memang hari-hari ada saja kemalangan yang berlaku di sekitar dan dalam terowong itu, tak pasti apa punca sebenar yang menyebabkan ia berulang.

“Cerita-cerita misteri pun banyak kami di sini dengar, ada yang lalu di terowong itu dengan kadar kelajuan perlahan dan cuaca baik tetapi tiba-tiba terbabas langgar penghadang jalan.

“Sedar atau tidak, kesesakan lebuhraya sehingga pemandu tersangkut berjam-jam lamanya, selalu bersangkut paut dengan kemalangan di lokasi yang sama,” katanya.

Asal Nama Menora

Nama Menora dikatakan tercipta apabila orang Kedah datang menyerang Perak dengan hasutan Raja Siam. Orang Siam yang terlibat dengan peperangan itu kemudiannya berehat di sungai berhampiran.

Mereka mengisi masa lapang dengan mengadakan tarian Menora dan nama itu kekal digunapakai sehingga kini.
Kedua-dua terowong ini tidak sama panjang dengan salah satu darinya berukuran 830 meter dan sebelah lagi 880 meter.

IMG_9792

Ibarat Mati Hidup Semula

Gambar Hiasan
Gambar Hiasan

Ahmad Kulop, 60, antara individu yang terselamat dari kemalangan akibat brek tidak berfungsi, situasi itu menyebabkan dia terpaksa melanggar dinding bukit di tepi lebuhraya bagi memberhentikan kenderaan.

“Waktu itu sekitar tahun 90-an, saya dalam perjalanan pulang ke Ipoh dan brek tidak berfungsi, satu-satunya cara untuk elakkan kenderaan lain adalah dengan menyeret badan kereta ke dinding bukit.

“Mujur ia tidak melibatkan hentaman kepada kenderaan lain, peristiwa itu menyebabkan saya trauma melalui terowong Menora dalam tempoh beberapa tahun,” ujar Ahmad.

Mohon Susur Keluar di Kampung Menora

Dalam pada itu, Azmi masih memperjuangkan permohonan mereka untuk mendapatkan susur keluar masuk bertol, bagi kemudahan penduduk di sekitar Kampung Menora memasuki atau keluar lebuhraya.

“Sudah berpuluh tahun kami mohon tol ini memandangkan penduduk di sini terpaksa berpatah balik ke Kuala Kangsar untuk masuk lebuhraya, jaraknya hampir 20 kilometer, dengan susur keluar masuk di sini dapat jimatkan masa hanya lima minit sahaja ke Jelapang,”katanya.