SERI ISKANDAR: Majlis Masyarakat Sivil (MMS) yang diwujudkan di setiap Majlis Daerah dan Majlis Perbandaran berperanan untuk menggalakkan penyertaan rakyat, selain membantu Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) membuat keputusan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan Dan Koperasi, Hal Ehwal Pengguna, NGO Dan Masyarakat Sivil (MMS), Datuk Samsudin Abu Hassan berkata, ia merupakan komitmen kerajaan dalam memastikan Agenda Tempatan 21 diamalkan dalam sistem pentadbiran kerajaan.

Menurut beliau, kumpulan itu tidak terkecuali untuk membantu membangunkan daerah Perak Tengah sebagai pusat ekonomi dan seterusnya menyediakan kestabilan ekonomi kepada masyarakat.

“MMS telah memberi komitmen yang tinggi di dalam menjayakan program di peringkat MDPT (Majlis Daerah Perak Tengah) seperti kempen menanam pokok, selain lukisan mural di Parit yang melibatkan gabungan pelukis daripada Malaysia, Indonesia dan Filipina dan sebagainya termasuklah program hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian di Program MMS dan NGO yang melibatkan Program Penyerahan Pertandingan Mercu Tanda Arca Perak Tengah Dan Premis Bersih 2017 di D’Hotel@Seri Iskandar.

Sempena program itu, turut diadaka Pelancaran Kitar Semula Serta Sistem Mata Ganjaran Kitar Semula KOHIJAU-ICYCLE.

Hadir sama, Yang DiPertua MDPT, Datuk Mad Dan Hassan, ADUN Bota, Datuk Nasaruddin Hashim dan Presiden Ipoh City Watch (ICW), Dr Richard Ng.

Sementara itu, Dr Richard berkata, Sistem Mata Ganjaran Kitar Semula KOHIJAU-ICYCLE membolehkan pengguna mengitar semula sambil memungut mata ganjaran secara tunai atau kupon.

Beliau menjelaskan, orang ramai boleh kumpul semua bahan kitar semula dan masukkan salam beg atau kotak lalu tampal bar code, kemudian masukkannya ke dalam KOHIJAU-ICYCLE berhampiran anda.

“Apa yang penting mereka perlu mendaftar dahulu sebagai ahli KOHIJAU-ICYCLE dan boleh semak mata ganjaran melalui laman web,” katanya.

Pada program itu, Pertandingan Reka Bentuk Arca Awam dimenangi oleh pelajar dari Fakulti Seni Bina dan Ukur, UiTM Seri Iskandar.

Bagi pertandingan premis restoren terbersih kategori restoren makanan segera- francais dimenangi oleh SUBWAY dan kategori restoren tempatan jatuh kepada La Cushy.