JOHOR BAHRU: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) proaktif untuk memastikan harga barangan keperluan pada musim perayaan ini terkawal.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub, berkata Kabinet sudah memutuskan dua kementerian itu mengambil tindakan proaktif mencari penyelesaian serius bagi memastikan rakyat dapat membeli barangan keperluan menjelang Aidilfitri.

Katanya, ia termasuk memastikan bekalan semua keperluan mencukupi dan mudah didapati.

“Harga barangan sedang diselaraskan MOA dan KPDNKK. Kita perlu pastikan tiada masalah bekalan dan barang keperluan boleh dimiliki dengan harga berpatutan.

“Jadi, kedua-dua kementerian ini sedang berusaha memastikan ia dapat dijayakan. Kita mahu semua bekalan dapat dibeli dan diakses rakyat dengan harga berpatutan.

“Walaupun KPDNKK belum mempunyai menteri, Ketua Setiausaha kementerian itu bersama MOA diberi mandat mengambil tindakan sewajarnya terhadap kawalan harga barang pada musim perayaan ini,” katanya pada sidang media di Majlis Agihan Bubur Lambuk kepada Penjaja, Peniaga dan Pengunjung Bazar Ramadan Taman Dahlia di sini, hari ini.

Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Pulai turut memberi jaminan sehingga kini bekalan keperluan mencukupi sepanjang perayaan termasuk sebelum dan ketika Aidilfitri nanti.

“Bekalan cukup berdasarkan maklumat Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan peladang termasuk sayur serta daging yang amat diperlukan sekarang,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini tiada barangan dihadkan atau disekat untuk dieksport, namun itu antara cara yang akan dilaksanakan jika perlu bagi memastikan bekalan mencukupi menjelang Aidilfitri – berita harian