PARIT: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) akan membuat pertimbangan terhadap permohonan Kerajaan Negeri Perak serta anggota Parlimen Parit agar menyenaraikan pengurusan jelapang padi di parlimen itu, di bawah seliaan Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Seberang Perak.

Timbalan Menteri berkenaan, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, beliau akan mengemukakan permohonan itu kepada kementerian untuk dipertimbangkan dengan sewajarnya sebelum mendapat kelulusan.

“Saya melihat ada kewajaran apa yang diminta oleh wakil rakyat (Anggota Parlimen Parit Datuk Mohd Zaim Abu Hasan) di sini dan saya sebagai timbalan menteri menyokong penuh permohonan ini kerana kaedah penanaman padi akan lebih terurus di bawah pengurusan IADA.

“Ini kerana IADA akan memberi fokus terhadap soal pengairan, kedudukan tanah yang berkaitan dengan pengusahaan tanaman padi, tenaga kerja serta pengurusan teknikal untuk meningkatkan penghasilan tanaman padi,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di Pengairan Kubang Aji, Kampung Pasir Gajah di sini, hari ini.

Pada Mac lepas, Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, kawasan sawah padi seluas 3,100 hektar di sini agak terpinggir daripada sebarang projek pembangunan serta kira-kira 400 pesawah di situ sering menghadapi masalah semasa mengusahakan sawah mereka.

Dr Zambry berkata, ia menyebabkan produktiviti sawah di kawasan ini agak rendah iaitu hanya dapat menghasilkan 2.6 tan metrik bagi 0.4 hektar sawah padi dan agak ketinggalan daripada sasaran di peringkat nasional iaitu tujuh tan metrik semusim.

Dalam perkembangan lain, Tajuddin berkata, golongan petani di negara ini perlu melakukan aktiviti sampingan seperti perusahaan ternakan lembu dan kambing di kebun kelapa sawit atau perusahaan ikan dalam sangkar yang mampu meningkatkan hasil pendapatan mereka.

“Selari dengan hasrat kementerian yang menggalakkan kaedah pertanian secara integrasi dengan mempelbagaikan aktiviti pertanian dalam satu kawasan dan bantuan kewangan akan diberikan kepada petani yang mahu memulakan perusahaan baharu,” katanya.- BERNAMA