IPOH: Program Usahawan Bergerak (Mobilepreneur) yang diperkenalkan Kementerian Kemajuan Luar Bandar Dan Wliayah (KKLW) mulai tahun ini berjaya melonjakkan pendapatan peserta antara 40 hingga 50 peratus.

Di bawah program itu, Giatmara diberi peruntukan RM3 juta untuk membantu meningkatkan pendapatan 300 peserta di seluruh negara.
Pengerusi Giatmara, Datuk Azian Osman berkata, berdasarkan kajian dan pemantuan yang dibuat pihaknya, rata-rata peserta sangat berbuat hati dengan program itu kerana ia dapat meningkatkan pendapatan mereka.

“Kami berharap akan terus diberi peluang untuk melaksanakan program ini tahun hadapan,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan Mobilepreneur @ KKLW kepada 50 peserta di Wisma UMNO Perak di sini pada Jumaat.

Seramai 50 peserta daripada seluruh negeri Perak itu merupakan kumpulan terakhir daripada Giatmara untuk tahun 2016.

Di bawah program itu, setiap peserta diperuntukkan RM10,000 dalam bentuk motosikal, peralatan berniaga dan latihan.

Antara syarat untuk menyertai program itu ialah mesti berumur antara 18 – 40 tahun, memiliki sijil kemahiran yang diiktiraf kerajaan dan daripada kumpulan B40.

Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dalam pembentangan Bajet 2017 baru-baru ini mengumumkan peruntukan sebanyak RM30 juta disediakan untuk program tersebut.

 


Di dalam ucapannya, Azian berharap agar peserta dapat memanfaatkan sepenuhnya motosikal yang diberikan bagi meningkatkan pendapatan keluarga dan jangan menyalahgunakannya.

Beliau mengingatkan bahawa, sekiranya didapati berlaku penyalahgunaan, kemudahan yang diberi itu boleh ditarik balik.

Beberapa peserta yang ditemui menyifatkan program itu sangat baik kerana membantu meringankan beban kewangan usahawan baru seperti selepas Giatmara.
Amirun Salim, 34, yang terlibat di dalam bidang penghawa dingin berkata, program itu memudahkannya untuk bergerak ke lokasi pelanggan, sekaligus menambah pendapatan mereka.

mobilepreneur-5
Kamal Musa, 43, yang menjadi usahawan di bidang elektrikal pula berkata, mengucapkan terima kasih kepada kerajaan yang prihatin untuk membantu golongan B40 sepertinya.