KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak pernah mengarahkan sekolah melaksanakan Modul 10 Minit Perhimpunan (M10MP), kata Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.

Beliau berkata, modul diperkenalkan Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas (IPGKIK) sebagai antara inovasi bagi membudayakan Pembelajaran Abad Ke-21 (PAK21) dan penerapan nilai itu, sebaliknya tertakluk kepada budi bicara pentadbiran sekolah.

“Pengetua dan guru besar digalak menggunakan kreativiti mengikut konteks sekolah dalam melaksanakan aktiviti di tempat masing-masing. Sehingga kini, lebih 260 sekolah mengamal dan melaksanakan modul perhimpunan 10 minit ini,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Mahdzir Khalid (BN-Padang Terap) mengenai sejauh mana pelaksanaan M10MP berupaya menerapkan nilai pendidikan menyeluruh.

Maszlee berkata, tinjauan terhadap keberkesanan modul ke arah kemenjadian murid pada 2018 terhadap pentadbir sekolah dan seramai 267 guru menyumbang pada penguasaan kemahiran insaniah murid.

“Sepanjang 10 minit, acara perhimpunan dilaksanakan sepenuhnya oleh murid, bukan guru . Justeru beri ruang untuk murid tunjukkan kreativiti,” katanya – Berita harian