AYER KEROH : Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob tidak bersetuju dengan cadangan Ketua Menteri, Adly Zahari supaya membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Seri Hasim Hasan, dalam satu kenyataan hari ini, berkata Mohd Khalil sudah mendapat representasi daripada sebilangan besar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka bahawa Adly tidak lagi mendapat kepercayaan sebilangan besar daripada keseluruhan 28 ADUN.

Katanya, di atas budi bicara Mohd Khalil, beliau tidak mempersetujui dengan permohonan Adly untuk membubarkan DUN.

“Oleh yang demikian, berdasarkan Perkara 7(4) Perlembagaan Negeri Melaka, Adly hendaklah meletak jawatan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

“Selanjutnya berdasarkan Perkara 7(2)(a) Perlembagaan Negeri Melaka, Mohd Khalil akan melantik dalam masa terdekat seorang ADUN sebagai Ketua Menteri yang baharu untuk mengetuai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang pada pendapatnya, mendapat kepercayaan sebilangan besar ADUN,” katanya.

Adly hari ini mencadangkan kepada Mohd Khalil supaya membubarkan DUN bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan.

Menerusi satu kenyataan, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu dilaporkan berkata, cadangan berkenaan dibuat selepas mengambil kira keadaan ketidakstabilan politik Melaka yang boleh menjejaskan pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat serta bagi mengembalikan semula mandat kepada rakyat. -BH