TELUK INTAN: Bekas Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, ACP Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Hilir Perak yang baharu berkuatkuasa hari ini.

Mohd Marzukhi menggantikan ACP Wan Hassan Wan Ahmad yang bertukar ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman sebagai Ketua Penolong Pengarah Jabatan Integriti Dan Pematuhan Standard.

Mohd Marzukhi, 41, turut dinaikkan pangkat daripada Superintendan kepada ACP manakala Wan Hassan, 50, turut dinaikkan pangkat daripada ACP kepada SAC berkuat kuasa hari ini.

Majlis serah tugas antara Mohd Marzukhi dan Wan Hassan disaksikan Ketua Polis Perak Datuk Hasnan Hassan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak di sini, pagi ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan berkata sepanjang 14 bulan di Hilir Perak, Wan Hassan telah menjalankan tugas dengan cemerlang apabila kadar jenayah di daerah ini mencatat penurunan sebanyak 14 peratus.

“Saya kagum dengan prinsip dan komitmen beliau jalankan tugas sepanjang menjawat jawatan Ketua Polis Daerah Hilir Perak.

“Malah kecemerlangan Wan Hassan turut mendapat pujian daripada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi setiap kali program Timbalan Perdana Menteri di Hilir Perak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis serah tugas Mohd Marzukhi sebagai Ketua Polis Daerah Hilir Perak yang baharu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak, di sini hari ini.