KUALA LUMPUR: Naib Presiden PKR, Mohd Rafizi Ramli, akan mengemukakan representasi kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) untuk mengkaji semula tuduhan menyiarkan artikel mengandungi tohmahan terhadap Lembaga Tabung Haji (TH) yang dihadapinya.

Peguam Nik Zarith Nik Moustpha yang mewakili Mohd Rafizi, memaklumkan kepada Majistret Umzarul An-Nur Umar bahawa representasi berkenaan juga adalah bagi pihak pendakwaan menimbangkan untuk menarik balik tuduhan itu.

Ketika ditemui pemberita selepas prosiding di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, Nik Zarith berkata, pihaknya akan mengemukakan representasi itu secepat mungkin kepada AGC.

Dalam prosiding itu, mahkamah menetapkan tarikh 30 Julai depan untuk pihak pendakwaan dan pembelaan mengemukakan hujahan masing-masing, serta 28 Ogos untuk keputusan pada akhir kes pendakwaan.

Mohd Rafizi didakwa menyiarkan artikel bertajuk ‘Analisa Kewangan Tabung Haji 2009-2015’ dalam akaun Facebook Rafizi Ramli bertarikh 9 Februari 2016, mengandungi tohmahan terhadap TH yang boleh merosakkan nama baik perbadanan itu.

Mohd Rafizi didakwa melakukan kesalahan itu di Tingkat 18, Bangunan Tabung Haji, 201, Jalan Tun Razak di sini, pada jam 9 pagi 18 Februari 2016.

Pertuduhan terhadapnya adalah mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Afiq Nazrin Zaharinan – berita harian