WAJAHNYA biasa terpampang di media sama ada di dada akhbar atau kaca televisyen.

Mohd Rawi Abdullah, 50, bukan seorang selebriti atau pemimpin tinggi parti politik, namun penglibatan aktif dalam mendedahkan isu dan masalah rakyat membuatkan beliau cukup dikenali khususnya masyarakat di Ipoh.

Bantuan yang diberi tiada batasan – orang miskin, mangsa sindiket penipuan, isteri yang ditindas, kanak-kanak yang didera, pelajar cemerlang yang tercicir, birokrasi agensi kerajaan – semuanya mendapat perhatian Mohd Rawi.

Tidak hairanlah, Pusat Khidmat Barisan Nasional Ipoh Barat yang diselaraskannya merupakan antara Pusat Khidmat BN paling aktif di negeri ini.

Walaupun membawa nama BN, Mohd Rawi tidak pernah membelakangkan prinsip yang dipegangnya iaitu membantu setiap lapisan masyarakat tanpa mengira kaum dan ideologi politik.

Mohd Rawi bersama koleksi buku pemimpin negara di bilik bacaannya di Pejabat Pusat Khidmat BN Ipoh Barat.

Dalam melaksanakan tugas sehariannya, Mohd Rawi amat disenangi oleh semua kaum, lebih-lebih lagi keupayaanya menguasai banyak bahasa termasuk mandarin.

Pengalaman hidupnya sejak seawal zaman kanak-kanak bergaul dengan masyarakat Tionghua sewaktu tinggal bersama keluarganya di Flat Waller Court ditengah-tengah bandar Ipoh sekitar tahun 70-an, memudahkan lagi urusan kerjayanya dalam membantu masyarakat kaum itu.

“Sewaktu zaman kanak-kanak lagi, saya bergaul rapat dengan rakan-rakan Tionghua dan Melayu yang sebilangan besar bapa mereka berniaga dan menjaja makanan secara kecil-kecilan di sekitar Ipoh.

“Selain bermain di sekitar kawasan flat, saya turut makan bersama mereka sehingga akhirnya saya dapat menguasai bahasa Mandarin dan Melayu dengan baik,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Taman Canning, Ipoh baru-baru ini.

Keratan-keratan  akhbar yang terdapat pada papan kenyataan di  Pejabat Pusat Khidmat BN Ipoh Barat.

Sejak menggalas tugas sebagai Ketua Penyelaras Pusat Khidmat BN Ipoh Barat, banyak aduan yang membabitkan pelbagai masalah seperti kes penipuan, masalah kesihatan dan pelajaran yang dibawa kepadanya.

“Hari ini hampir 90 peratus aduan pelbagai masalah yang saya terima sama ada daripada individu mahupun keluarga yang datang ke Pusat Khidmat BN Ipoh Barat adalah daripada kaum Tionghua,” katanya.

Menurut Mohd Rawi, ada kes-kes seperti penipuan yang dibawa ke pusat itu masih di peringkat penyelesaian mahkamah manakala aduan lain diselesaikan dengan hanya merujuk kepada pihak jabatan dan agensi kerajaan berkaitan.

Menceritakan pengalamanya sewaktu remaja, beliau amat menggemari bidang Sains Politik kerana bidang  berkenaan lebih menjurus kepada permasalahan dan kehidupan masyarakat.

“Saya meminati sains politik kerana sering terikut-ikut dengan gaya dan pendekatan bapa saya, seorang pemandu teksi yang aktif berpolitik dan sentiasa membangkitkan masalah masyarakat waktu itu,” ujarnya.

Menurut Mohd Rawi, bermula dari situ, beliau mula bertekad untuk menyambung pelajaran demi menjamin masa depan.

Impiannya menjadi kenyataan apabila salah satu keluarga angkatnya menawarkannya untuk bekerja di sebuah restoran Cina di Jerman.

Walaupun diambil bekerja sebagai pencuci pinggan di restoran, beliau mengambil peluang untuk mendapatkan ijazah sambil belajar di sebuah universiti, Liverpool John Moores Dumberg, Germany selama tiga tahun sebelum pulang ke tanah air.

“Saya dibayar RM1,800 sebulan untuk mencuci pinggan mangkuk dan ia mencukupi kerana segala kemudahan seperti makanan dan tempat tinggal disediakan oleh keluarga angkat saya,” ujarnya.

Mohd Rawi menyampaikan bantuan makanan kepada seorang warga emas.

Sekembalinya ke tanahair, Mohd Rawi terpaksa menganggur seketika sebelum mendapat peluang untuk bekerja dengan bahagian urusan kenderaan di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Ipoh sehingga tahun 2006.

Selepas itu beliau menyambung pelajaran untuk mendapatkan Master dalam jurusan Pengurusan Perniagaan di Universiti Utara Malaysia (UUM) sehingga tahun 2009.

Minatnya untuk menabur khidmat dengan masyarakat akhirnya tercapai pada tahun 2009 apabila ditawarkan bekerja sebagai pembantu Pusat Khidmat BN di Jalan Senivasagam, Ipoh.

“Waktu itu Pusat-Pusat Khidmat BN hendak ditubuhkan di kawasan-kawasan di mana BN tewas dan akhirnya saya ditawarkan sebagai pembantu Pusat Khidmat BN di Jalan Senivasagam.

“Saya tidak kekal lama di situ sebelum diberi peluang untuk menjadi Ketua Penyelaras Pusat Khidmat BN Ipoh Barat sehingga sekarang,” katanya.

Menurut Mohd Rawi, dengan bermodalkan wang sendiri, beliau menggajikan seorang kerani untuk menjalankan tugas-tugas menerima aduan daripada masyarakat.

Beliau berkata, pusat yang dikendalikannya berjaya mendapat kepercayaan dari kaum Cina yang menganggap mutu perkhidmatan yang diberikan amat berkesan.

Bagaimanapun, beliau mengakui, keberkesanan menangani setiap aduan yang diterima turut dibantu oleh hubungan baik dengan pihak media, yang tidak putus-putus menyiarkan banyak kes yang diterima.

“Paparan kes-kes seperti penipuan, masalah kesihatan rakyat dan masalah pendidikan yang dibawa oleh rakyat sering mendapat tempat di dada akhbar tempatan dan kesannya memberi impak yang cukup baik kepada Pusat Khidmat BN Ipoh Barat,” jelas beliau.

Mohd Rawi berazam, selagi Pusat Khidmat BN ini diberi kepercayaan oleh masyarakat maka selagi itulah beliau akan terus menyumbang tenaganya dalam meletakkan BN sebagai parti yang benar-benar membela nasib rakyat.