BATU GAJAH: Mohd Razif Ramli mengangkat sumpah sebagai Yang Dipertua Majlis Daerah Batu Gajah (MDBG) yang baharu, di hadapan Ahli Majlis di Bilik Mesyuarat Bunga Raya di bangunan MDBG di sini pada Selasa.

Razif, 36, bekas Setiausaha Majlis Daerah Kerian lebih tujuh tahun, menggantikan Nurdiana Puaadi yang difahamkan melanjutkan pelajaran.

Ketua Ahli Majlis MDBG, Datuk Wira Mohd Yusoff Kasim merakamkan penghargaan dan tahniah di atas pelantikan itu dan berharap ia akan melonjakkan lagi pentadbiran majlis.

“Kami ahli-ahli majlis juga akan memberi kerjasama sebaik mungkin untuk membangunkan lagi kawasan pentadbiran Majlis Daerah Batu Gajah,” katanya ketika berucap di majlis itu.

Razif di dalam ucapannya pula berkata, kejayaan MDBG hanya akan dapat dicapai apabila mempunyai perancangan yang sistematik, pelaksanaan dan kawalan berkesan dengan sikap tanggungjawab tinggi, berintergriti, kreatif dan inonavtif.

“Saya juga ingin memohon semua ahli majlis supaya dapat kita bersama-sama mengorak langkah untuk mencapai kejayaan bagi Majlis Daerah Batu Gajah,” ujarnya.

1f459bac-c0b3-4823-bb60-d737d3f1d6eb

Beliau memberitahu, sehingga September 2017, MDBG mempunyai 220 anggota yang terdiri daripada 171 berjawatan tetap dan 49 lagi bertaraf kontrak.

Menurutnya, antara kejayaan MDBG ialah menyelesaikan masalah banjir di Jalan Pusing melalui kaedah inovatif TAUBAH (Tindakan Ali Ubah Banjir Arah Hulu) yang dirasmikan Ahli Dewan Negara, Datuk Hamzah Kasim sempena permukiman di Zon Batu Gajah, Parlimen Gopeng, baru-baru ini.

Selain itu, katanya, dua medan selera iaitu Medan Selera Taman Orkid dan Medan Selera Plaza telah terpilih menerima anugerah kategori A bagi medan selera di Daerah Kinta sempena Majlis Anugerah Keselamatan Makanan 2017, baru-baru ini.

Di samping itu, kata Razif, Goldenpoint Foodcourt Batu Gajah dan R&R Simpang Pulai (arah selatan) turut terpilih menerima anugerah dalam kategori C dan E.

“Penganugerahan ini merupakan satu mandate yang telah diberikan oleh kerajaan negeri kea rah kehidupan bandar yang lestari, justeru usaha-usaha harus ditingkatkan lagi bagi mencapai tahap yang lebih tinggi,” kata beliau.