LENGGONG: Saban kali tibanya penghujung tahun, banjir yang kebiasaannya berlaku pasti akan menjadikan Sekolah Kebangsaan Kenering sebagai salah satu mangsa kepada bencana alam berkenaan.
Justeru, ADUN Kenering, Datuk Mohd Tarmizi Idris berharap agar pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memindahkan sekolah itu segera bagi mengelak daripada terjejas akibat kejadian banjir.
Katanya, pelan jangka panjang perlu dirangka segera dan beliau berharap agar KPM dapat menilai semula untuk menyalurkan peruntukan memindahkan sekolah yang berada di kawasan lembah yang rendah itu.
“Tidak ada pilihan, kena bina tempat lain dan cadangannya adalah Rancangan Malaysia ke-11, dan kita amat mengharapkan kerajaan persekutuan menyediakan peruntukan.
“Ini kerana, di sekolah ada lebih daripada 400 pelajar yang masih belajar di peringkat sekolah rendah, antara tempat menuntut ilmu yang mempunyai ramai murid, kita harap KPM akan mengambil kira dalam RMK 11 untuk memasukkan SK Kenering,” katanya kepada pemberita ketika menemani Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir melawat kawasan terjejas banjir.
Kata Tarmizi, SK Kenering juga merupakan sekolah yang cukup unik berdasarkan kepelbagaian kaum yang juga termasuk masyarakat Orang Asli.
Katanya, semua kakitangan SK Kenering kini perlu mengelak untuk meletakkan kemudahan dan pejabat di tingkat bawah kerana ianya bakal dirosakkan oleh air banjir.
“Kosongkan bahagian bawah untuk kelas dan bilik darjah sahaja, bilik komputer dan pejabat mesti di tingkat atas, kerana banjir akan merosakkan pelbagai peratalan sekolah,” ujarnya lagi.