KUALA LUMPUR: Cadangan menurunkan kuasa untuk meluluskan lesen pemilikan senjata api kepada kerajaan negeri akan dibincangkan, meliputi beberapa faktor keselamatan, pengurusan dan proses saringan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Azis Jamman, berkata perkara itu akan diperincikan di peringkat kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan, sama ada proses penurunan berupaya diluluskan.

“Ini kita perlu bincang secara lanjut sama ada proses penurunan kuasa boleh dilaksanakan,” katanya menjawab soalan tambahan Noorita Sual (PH DAP-Tenom) pada sesi Dewan Rakyat, hari ini.

Noorita meminta perincian sama ada kerajaan berupaya menurunkan kuasa kepada ketua polis negeri bagi meluluskan lesen pemilikan senjata, selaras langkah memberikan autonomi kepada kerajaan negeri yang ingin dilaksanakan.

Turut ditanya mengenai punca kelewatan proses permohonan lesen pemilikan senjata api yang didakwa memerlukan tempoh sehingga setahun sebelum diluluskan.

Azis berkata, kelulusan pemilikan senjata memerlukan penelitian mendalam, selain membabit proses saringan beberapa agensi, termasuk Kementerian Kesihatan kerana ia mempunyai kaitan dengan perihal keselamatan.

“Kadang kala yang memohon tangannya tiada jari, jadi bagaimana nak luluskan permohonan lesen senjata api mereka?

“Macam mana (pemohon lesen) nak pegang senjata api? Ada juga yang mengemukakan dokumen permohonan tapi menggunakan kerusi roda.

“Jadi banyak faktor yang kalau nak diceritakan tiada kesudahan mengenai penelitian sebelum meluluskan lesen senjata api ini,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN UMNO-Bera) mengenai permohonan mewariskan atau memindah hak milik lesen pemilikan senjata api, Azis berkata, kerajaan secara dasarnya tidak memberi sebarang kelulusan berhubung kes sedemikian.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan memberi pengecualian jika pemohon baharu atau pewaris menepati kriteria yang ditetapkan dalam permohonan pemilikan lesen senjata api.

“Kita akan luluskan sekiranya mendapati faktor fizikal anaknya layak, malah ada keperluan untuk mengambil alih penjagaan kebun daripada keluarga,” katanya – berita harian