PUTRAJAYA: Pindaan Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Larangan Mengenai Jenis-Jenis Kaca Tertentu) 1991 kekal terpakai, meskipun mendapat bantahan pelbagai pihak.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, ketika menyuarakan pendirian itu berkata keputusan yang diumumkan kelmarin adalah bersandarkan maklum balas Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan bengkel khas mengenai peraturan cermin gelap, pada Jun 2014.

Katanya, rumusan bengkel berkenaan untuk mengekalkan ketelusan cahaya nampak (VLT) bagi cermin hadapan dan sisi pemandu, masing-masing berkadar 70 peratus serta 50 peratus masih dihormati.

“Oleh itu, kita masih mengekalkan rumusan daripada bengkel terbabit, sebaliknya pindaan penggunaan cermin gelap pada sisi kiri dan kanan penumpang, selain bahagian belakang adalah selari piawaian antarabangsa.

“Banyak kereta import, termasuk kenderaan utiliti sukan (SUV) dan kenderaan pelbagai guna (MPV) dari Jepun yang tidak melepasi piawaian (peraturan cermin gelap ditetapkan di negara) kita.

“Disebabkan itu, pemilik kenderaan import ini terpaksa menyewa cermin dengan kadar VLT mengikut piawaian di kedai aksesori kereta pada kadar RM800 semata-mata ingin melepasi Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM),” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Berkuat kuasa semalam, penggunaan lapisan filem atau cermin gelap tanpa had dibenarkan pada cermin sisi kiri dan kanan penumpang serta cermin belakang kenderaan.

Ia bermakna, cermin berkenaan boleh menggunakan lapisan filem atau cermin gelap hitam sepenuhnya, berbanding peraturan sekarang yang menetapkan kadar ketelusan cahaya tampak pada 30 peratus.

Kadar ketelusan cahaya tampak bagi bahagian cermin depan dan cermin kiri serta kanan pemandu, masing-masing masih kekal 70 dan 50 peratus seperti peraturan sedia ada.

Pindaan Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Larangan Mengenai Jenis-Jenis Kaca Tertentu) 1991 itu dibuat selepas mendengar keluhan orang ramai, selain selaras Peraturan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) No 43: Peruntukan Seragam Mengenai Kelulusan Bahan Kaca Keselamatan dan Pemasangannya Pada Kenderaan.

Fi RM50 dikenakan terhadap setiap permohonan atas faktor keselamatan untuk menggunakan cermin gelap sepenuhnya bagi kenderaan persendirian dan fi RM5,000 jika diluluskan, namun tiada caj dikenakan bagi permohonan susulan faktor kesihatan.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias, kelmarin dilaporkan berkata peraturan baharu penggunaan cermin gelap kenderaan persendirian itu menyukarkan tugas penguatkuasaan, malah mendedahkan bahawa polis tidak dipanggil bagi membincangkan perkara berkenaan.

Peraturan sedia ada mengikut Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Larangan Mengenai Jenis-Jenis Kaca Tertentu) 1991 (pindaan 5 Februari 2016) memperuntukkan kadar ketelusan cahaya cermin depan ialah 70 peratus, cermin sisi pemandu (50 peratus), manakala cermin sisi belakang dan cermin sisi belakang penumpang (30 peratus).

Menyentuh pelaksanaan fi bagi sebarang kelulusan cermin gelap, Anthony Loke berkata, garis panduan berkenaan dilaksana demi menjana pendapatan negara, selain berupaya menangani risiko gejala rasuah.

Beliau mendedahkan, wujud sindiket didalangi orang dalam di pejabat Menteri Pengangkutan ketika pentadbiran kerajaan terdahulu yang mengambil ‘upah’ menjangkau RM8,000 untuk mendapat kelulusan menggunakan cermin gelap atas faktor keselamatan.

“Oleh itu, daripada kerajaan tidak dapat sesen pun ketika pentadbiran kerajaan terdahulu, sebaliknya menguntungkan poket sesetengah pihak, baik kita kenakan bayaran fi terhadap mana-mana yang ingin menggunakan cermin gelap susulan faktor keselamatan.

“Mengikut statistik, ada 17,186 permit penggunaan cermin gelap yang akan tamat tempoh, justeru pihak yang ingin memperbaharui mengikut pindaan baharu perlu membayar fi RM5,000 jika diluluskan,” katanya – Berita harian