IPOH – Seorang lelaki nyaris maut apabila motosikal yang ditunggangnya terbakar berhampiran tol Jelapang lewat petang tadi.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Meru Raya, Nor Azam Abd Rahman mengesahkan menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.40 petang.

“Kebakaran melibatkan sebuah motosikal jenis Honda EX5 yang musnah terbakar lebih 80%.

“Bomba menggunakan satu aliran ‘hose reel’ bersumberkan air dari tangki jentera untuk memadamkan kebakaran tersebut,” ujar beliau ketika dihubungi Suara Perak.

Penunggang itu berjaya menyelamatkan diri setelah menyedari api pada kenderaannya.

Punca kebakaran masih dalam siasatan, tambah beliau.

Api berjaya dipadamkan sepenuhnya pada 7.05 malam.