TAPAH: Dua remaja maut apabila motosikal yang mereka naiki bertembung dengan sebuah kereta di Kilometer 2, Jalan Tapah – Cameron Highlands, dekat sini, pada Ahad malam.

Kejadian berlaku kira-kira jam 11.30 malam ketika kedua-dua mangsa, yang beralamat di Tapah, dikatakan dalam perjalanan ke arah Cameron Highlands.

Menurut Ketua Polis Daerah Tapah Superintenden Wan Azharudin Wan Ismail berkata, mangsa, K. Yoganathanl, 19 dan S. Dinesh, 18, meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Tapah.

Katanya, kemalangan berlaku ketika motosikal yang ditunggang Yoganathanl, dipercayai hilang kawalan dan masuk ke lorong bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah Proton Saga.

“Penunggang dan pembonceng motosikal telah dibawa ke Hospital Tapah untuk rawatan lanjut. Pemandu kereta tidak mengalami kecederaan,” katanya di sini, pada Isnin.

Bagaimanapun, katanya, Yoganathanl disahkan meninggal dunia pada 1.21 pagi Isnin manakala Dinesh disahkan meninggal dunia pada 2.12 pagi.

Menurutnya, siasatan awal mendapati penunggang tidak mempunyai lesen.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.