BALING: Seorang remaja maut, manakala pemboncengnya cedera apabila motorsikal mereka bertembung dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan berdekatan Kampung Pisang, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 3 petang itu, Ismail Mohd Zakri, 17, dari Kampung Charok Kangar maut ditempat kejadian apabila terperosok di bawah Toyota Innova dalam kejadian jam 3.40 petang di Jalan Baru Kupang-Grik.

Rakannya, Mohd Taufik Md Tahir, juga 17 tahun, yang membonceng motorsikal Yamaha Sport 100 itu cedera apabila melambung ke atas cermin hadapan kereta Toyota Vios.

Ketua Polis Daerah Baling, Superitendan Shafiffuddin Yusuf, berkata siasatan awal mendapati kemalangan itu berlaku apabila penunggang motosikal gagal memotong sebuah kenderaan lalu bertembung dengan Toyota Innova yang datang dari arah bertentangan.

“Akibat pertembungan itu, penunggang motorsikal terperosok di bawah Toyota Innnova maut di tempat kejadianmanakala rakannya melambung sebelum jatuh ke atas cermin hadapan kereta Toyota Vios yang berada di belakang Toyota Innova,” katanya.

Menurut Shariffuddin, mangsa yang cedera dikejarkan ke Hospital Baling sebelum dirujuk ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani.

Sementara itu, ayah Allahyarham Ismail, Mohd Zakri Shamsudin, berkata dia bergegas ke tempat kejadian sebaik dimaklumkan terdapat kemalangan tanpa mengetahui ia membabitkan anaknya.

“Ketika keluar ke kedai untuk membeli barangan dapur saya dimaklum ada kemalangan lalu ke tempat kejadian.

“Saya terkejut apabila mendapati anak saya terbaring di bawah kenderaan Toyota Innova. Saya sempat mengajarnya mengucap beberapa kali sebelum dia meninggal dunia,” katanya – berita harian