SHAH ALAM: Siasatan kes bunuh warga Palestin, Dr Fadi M R AlBatsh yang mati ditembak Sabtu lalu, menemui petunjuk baharu apabila motosikal dipercayai digunakan dalam kejadian itu ditemui sekitar Danau Kota, Setapak, Kuala Lumpur, hari ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun yang mengesahkan penemuan itu berkata, pihaknya bagaimanapun masih menjalankan siasatan lanjut.

“Ya, memang ada temui motosikal itu yang disyaki digunakan suspek ketika melakukan pembunuhan berkenaan.

“Namun, saya tidak boleh mendedahkan lanjut mengenainya,” katanya pada sidang media sempena Lawatan Kerja dan Taklimat Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) Peringkat Kontinjen Selangor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini, hari ini.

Difahamkan, motosikal itu ditemui berhampiran Tasik Danau Kota oleh orang awam, kira-kira jam 1 tengah hari.

Menurut beliau, polis turut memperoleh petunjuk lain kes berkenaan berikutan ada individu tampil menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan.

Mohamad Fuzi bagaimanapun berkata, pihaknya tidak dapat mengesahkan sama ada suspek masih berada di negara ini atau sebaliknya.

“Kita tiada butiran lengkap mengenai suspek kecuali lakaran fotofit yang sudah diedarkan di semua laluan pintu masuk negara ini.

“Namun, kita tidak pasti kemungkinan suspek meninggalkan negara ini melalui laluan tidak sah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, suspek yang melepaskan hampir 20 das tembakan berpotensi melarikan diri melalui enam lokasi.

“Suspek melarikan diri melalui Jalan Meranti, Setapak, sejurus kejadian.

“Siasatan polis mendapati laluan berpotensi dilalui saspek ialah Jalan Genting Klang, Jalan Gombak, Jalan Ibu Kota, Jalan Langkawi, kawasan Danau Kota dan Kawasan Wisma Ong Tai Kim.

“Kedua-dua suspek dilihat menaiki motosikal berkuasa tinggi model BMW GS atau Kawasaki Versys berwarna gelap, mempunyai cermin ‘windshield’ dan ada kotak simpanan barang di belakang motosikal,” katanya.

Beliau berkata, suspek memakai jaket dan topi keledar berwarna gelap selain kedua-duanya membawa beg galas ketika kejadian.

Allahyarham Dr Fadi yang juga Pensyarah Universiti Kuala Lumpur (UniKL) ditembak mati di kawasan pejalan kaki luar sebuah kondominium di Jalan Gombak, Setapak, ketika berjalan menuju ke surau untuk solat Subuh.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes itu diminta menghubungi pegawai penyiasat Asisten Superintendan (ASP) Shahrizal Saleh di talian 017-7134705 atau Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Wangsa Maju ASP Khairil Idzwan Ahmad di talian 019-3592582 – berita harian