PETALING JAYA : Pemeteraian memorandum persefahaman antara kerajaan Perak dengan sebuah syarikat dari negara China untuk meneroka galian nadir bumi di negeri itu masih di peringkat awal.

Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) berkata, permeteraian perjanjian sebelum ini tertumpu kepada proses kajian bagi mengenal pasti sumber nadir bumi di negeri tersebut.

“Konteks permeteraian memorandum persefahaman tersebut masih di peringkat awal, iaitu menggunakan kepakaran dari pihak China dalam mengenal pasti potensi sumber nadir bumi di Perak.

“Khususnya jenis lempung jerapan ion (ion adsorption clay) yang tidak mengandungi thorium mahupun uranium sebagai sisa sampingan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, tidak ada sebarang aktiviti perlombongan akan dilakukan untuk mengeluarkan sumber berkenaan, seperti kebimbangan yang dizahirkan Pertubuhan Sahabat Alam Malaysia (SAM) sebelum ini.

“KATS mengambil maklum kebimbangan disuarakan SAM berhubung dengan MoU ditandatangani di antara Menteri Besar Incorporated (Perak) dan Chinalco GXNF Rare Earth Development Co. Ltd,” katanya.

Sebelum ini, SAM menyuarakan kebimbangannnya terhadap persetujuan antara kerajaan Perak dengan sebuah syarikat China untuk menjalankan penerokaan galian nadir bumi di negeri itu.

Presiden SAM Meenakshi Raman berkata, Perak tidak belajar daripada “pengajaran tragik” kilang Asian Rare Earth (ARE) Bukit Merah yang menyebabkan keracunan radioaktif serius dalam kalangan penduduk sekitar sebelum ini.

Meenakshi turut menggesa kementerian dan kerajaan negeri menghentikan pelaburan yang hanya mendatangkan keuntungan besar untuk jangka pendek, tetapi meninggalkan bahan berbahaya untuk diwarisi generasi akan datang.

Kementerian itu bagaimanapun berkata, pihaknya menyokong kerjasama dengan pihak luar sekiranya jalinan tersebut memberi impak positif dalam pembangunan ekonomi Malaysia, tanpa menjejaskan kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan masyarakat.