IPOH: Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) telah menandatangani memorandum persefahaman (MOU) dengan Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) dalam usaha memberi nilai tambah kepada graduannya.

MOU itu akan melibatkan kerjasama dalam bidang penterjemahan, penerbitan dan latihan yang mana pelajar Program Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab akan diberi Sijil Terjemahan dari ITBM sebaik tamat pembelajaran.

259d264b-81fd-4ae0-aae8-4ca6043c05db

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Kadir menyifatkan kerjasama itu sebagai usaha yang amat baik dalam memastikan pasaran graduan USAS dipertingkatkan setanding dengan universiti-universiti terkemuka lain.

“Kerjasama ini satu inisiatif baik perkongsian bersama di mana ia bakal memberikan hasil kepada pelajar terlibat dengan sumbangan besar kepada bidang penterjemahan.

“Dalam dunia verbal kini penuh dengan bidang penterjemahan yang baik dan bidang penulisan bagaimanapun masalah kini kita tidak ramai terlibat dalam pelbagai bahasa,” katanya ketika menyaksikan majlis menandatangani MOU berkenaan di Bangunan Setiausaha Perak Darul Ridzuan, di sini pada Rabu.

MOU tersebut telah ditandatangani oleh Naib Canselor Tan Sri Prof Dr Nordin Kardi dan ITBM diwakili oleh Pengarah Urusannya Mohd Khair Ngadiron.

Menerusi program ini, pelajar perlu mengambil modul kursus Penterjemahan Am daripada Bahasa Inggeris ke Bahasa Melayu atau Bahasa Arab bagi tempoh 60 jam kredit merangkumi teori amali dan peperiksaan bagi melayakkan mereka memperoleh sijil berkenaan.