SERI MANJUNG – Majlis Perbandaran Manjung (MPM) komited dalam usaha menangani gejala rasuah dalam kalangan Ahli Majlisnya dengan mengambil pendekatan menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR).

Usaha itu juga menjadikan MPM sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama yang melibatkan Ahli Majlis, mengangkat sumpah IBR berkenaan.

Majlis angkat sumpah itu melibatkan 140 kakitangan MPM dan 23 Ahli Majlis yang diketuai Yang DiPertua MPM, Mohamad Fariz Mohamad Hanip.

Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak, Datuk Nooraziah Abd Manaf berkata, usaha itu dilaksanakan sebagai manifesto kepada sokongan dan komitmen bagi menjadikan negara bebas daripada gejala rasuah.

Menurutnya, secara tidak langsung MPM membuktikan mereka mahu menjadi PBT yang berpegang teguh kepada prinsip menentang rasuah dan melaksanakan tugas dengan lebih berintegriti.

“IBR adalah satu tanggungjawab bagi seseorang individu dalam usaha mencegah rasuah atau salah guna kuasa pada yang bermula dari lafaz ikrar.

“Saya juga cadangkan setiap vendor dan kontraktor yang berurusan dengan PBT supaya turut menandatangani ikrar ini kerana ia satu cara untuk memperlihatkan kejujuran, keikhlasan, komitmen kerja untuk memberi khidmat dengan lebih telus,” katanya ketika berucap pada majlis IBR di Dewan Anjung Perdana MPM di sini..

Beliau berkata, PBT lain harus mencontohi usaha dilakukan MPM bagi mewujudkan organisasi bebas rasuah.

“Kita dapat lihat MPM ada inisiatif sendiri untuk memperluaskan budaya integriti kepada masyarakat. Saya harap selepas ini akan ada PBT lain turut mengambil langkah sama untuk mewujudkan suasana kerja lebih kondusif,” katanya.

-SinarHarian