SERI MANJUNG – Pejabat Daerah dan Tanah Seri Manjung dengan kerjasama Majlis Perbandaran Manjung (MPM) melaksanakan program perumahan kos sederhana bagi mengatasi harga rumah semakin meningkat kini.

Pegawai Daerah Manjung, Datuk Mohamad Fariz Mohamad Hanip berkata, sebanyak 280 unit rumah kos sederhana dilaksanakan di Kampung Dato’ Seri Kamaruddin (KDSK) dan Lumut Kiri.

Menurutnya, lokasi berkenaan strategik kerana berhampiran pekan.

“Walaupun rumah kos sederhana, kita membinanya di kawasan pekan kerana tidak mahu persepsi masyarakat mengatakan jika rumah kos sederhana kedudukannya agak terpencil.

“Kita memilih lokasi strategik ini supaya semua orang tidak kira apa golongan boleh mendapat kemudahan sama rata,” katanya kelmarin.

Katanya, harga rumah berkenaan adalah RM140,000 memandangkan lokasinya berhampiran pekan.

“Di KDSK kita membina perumahan bertingkat dan sedang dibangunkan dan akan disusuli di kawasan Lumut Kiri pula.

“Kita galakkan masyarakat ambil peluang ini dan datang ke MPM atau pihak pemaju terlibat bagi mendapatkan maklumat lebih lanjut,” katanya.

Mohamad Fariz berkata, pihaknya turut membuat hari terbuka bagi memberi maklumat berkenaan perkara itu.

“Hari terbuka di laksanakan pada Sabtu dan Ahad lepas di mana turut membawa pihak bank serta Kementerian kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) agar mudah mendapat maklumat lebih lanjut.

“Kita mengambil langkah ini bagi membantu menyediakan perumahan yang dekat dengan pekan tapi mampu dimiliki golongan pertengahan dan bawahan,” katanya.

-SinarHarian