KUALA LUMPUR : Kenyataan yang mendakwa bahawa ahli parlimen Bersatu bersama kumpulan Azmin Ali telah menamakan Muhyiddin Yassin sebagai calon perdana menteri hari ini bukan dibuat Majlis Pimpinan Tertinggi (MKT) Bersatu, kata A Kadir Jasin.

Sebaliknya, beliau yang adalah anggota majlis itu berkata, mereka tidak dibawa berunding atau dimaklumkan mengenai hal berkenaan.

“Pendirian terakhir MPT yang dibuat dalam mesyuarat malam Isnin lalu ialah Tun Dr Mahathir kekal sebagai perdana menteri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kadir yang juga adalah penasihat media perdana menteri mengulas kenyataan Setiausaha Agung Bersatu, Marzuki Yahya, yang memaklumkan bahawa anggota parlimen Bersatu mencalonkan Muhyiddin sebagai calon perdana menteri kelapan.

Muhyiddin setakat ini memperoleh 36 sokongan – daripada anggota parlimen partinya (termasuk dipercayai kem Azmin Ali).

Presiden Bersatu itu dilaporkan sedang mendahului dalam saingan untuk menjadi perdana menteri kelapan susulan tindakan PAS dan Umno petang tadi yang mengubah pendirian dan mencalonkannya.

Mengulas perkembangan itu, Kadir berkata tindakan Umno dan PAS adalah tidak menghairankan.

“Tidak seperti Dr Mahathir yang hanya bersedia menerima pemimpin Umno sebagai individu, Muhyiddin sanggup menerima mereka sebagai parti.

“Prinsip Dr Mahathir adalah beliau menghormati keputusan rakyat jelata yang menolak penjenayah kleptokrasi dalam PRU 2018.

“Perlu diingatkan semula bahawa Bersatu adalah cetusan daripada kempen Selamatkan Malaysia dan Deklarasi Rakyat tahun 2016,” katanya.

PAS dan Umno, masing-masing sebelum ini mahu parlimen dibubarkan dan pilihan raya umum diadakan.