TAIPING – Pandai gantung, pandai turunkan sendiri.

Itu peringatan Majlis Perbandaran Taiping (MPT) terhadap mana-mana pihak yang dilihat mengambil pendekatan memasang gegantung bagi tujuan promosi dan kenduri kahwin.

Yang Dipertuanya, Datuk Abd Rahim Md Ariff berkata, ramai masyarakat hari ini tidak memandang berat masalah poster dan gegantung yang tiada kebenaran ini kerana menganggap ada pihak akan membersihkannya.

Menurutnya, kewujudan poster haram dan gegantung promosi serta perkahwinan hanya akan memberi imej buruk tambahan pula tahun ini adalah Tahun Melawat Perak 2017.

“Masalah ini jika dibiarkan boleh menjadi lebih serius, dan dalam masa sama mencacatkan penglihatan.

“Selepas pasang atau gantung, mereka seharusnya cepat-cepat turunkan selepas majlis kenduri kahwin atau promosi selesai,” katanya.

Beliau berkata, MPT sentiasa memandang serius masalah terbabit dan berusaha mencari jalan penyelesaian.

“Kita tidak menafikan bahawa masalah tersebut sememangnya berlaku, namun ia masih terkawal,” katanya.

Menurutnya, sehingga kini MPT tidak membuat sebarang operasi berikutan situasinya tidak serius, namun sekiranya keadaan tersebut di luar kawalan, tidak mustahil tindakan tegas akan diambil.

“Masalah tersebut tidak akan berjaya diselesaikan sekiranya orang ramai memainkan peranan masing-masing.

“MPT memohon orang ramai agar tidak sesuka hati memasang gegantung, sepanduk atau poster sesuka hati tanpa merujuk kepada MPT terlebih dahulu.

“Masyarakat perlu prihatin dengan keceriaan, kebersihan dan kecantikan kawasan sekitar sebagai tanda sokongan terhadap Tahun Melawat Perak 2017,” katanya.

-SinarHarian