TAIPING – Majlis Perbandaran Taiping (MPT) giat menjalankan intipan bagi menangkap dan mengenakan kompaun kepada ‘kutu’ sampah yang membuang sampah di kawasan longgokkan sampah haram.

Yang Dipertuanya, Datuk Abd Rahim Md Ariff berkata, MPT sentiasa memandang serius isu yang semakin berleluasa itu kerana mampu memberi impak negatif kepada persekitaran.

Menurutnya, sehingga kini MPT berjaya mengenal pasti 33 lokasi longgokkan sampah haram.

“Semua lokasi dikenal pasti ini juga sebenarnya kerap dibersihkan oleh pekerja MPT, bagi mengelak berlakunya penularan wabak penyakit, selain memastikan imej bandar warisan Taiping tidak tercemar.

“Sepanjang Julai ini, 85 kompaun berjumlah RM16, 000 dikeluarkan atas pelbagai kesalahan pembuangan sampah sarap secara haram,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh Bulanan MPT, di sini hari ini.

Abd Rahim berkata, kali ini MPT menggunakan konsep intipan dan berjaya menangkap individu terlibat.

“Pesalah yang ditangkap akan dikenakan kompaun antara RM 250 hingga RM 500 bagi setiap kesalahan di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal Pembersihan Awam 2007 (Akta 672),” katanya.

-SinarHarian