KUALA LUMPUR: Malaysian Relief Agency (MRA) akan menghantar bantuan kecemasan berupa makanan asas dan ubat-ubatan kepada mangsa gempa bumi dan tsunami di Sulawesi Tengah, Indonesia, Rabu ini.

Timbalan Presiden MRA, Khairil Annuar Khalid, berkata semua bantuan dianggarkan bernilai RM20,000 itu akan dibawa oleh pasukan pertama MRA yang akan bertolak ke sana pada hari itu.

“Untuk tujuan itu, kita turut melancarkan Tabung Kemanusiaan Gempa Bumi Sulawesi khusus untuk membantu mangsa-mangsa yang terjejas teruk akibat bencana itu.

“Sumbangan rakyat Malaysia boleh dibuat melalui akaun Public Bank 39885 91608 atas nama Malaysian Relief Agency Foundation,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi Mohd Fadhil Baharudin di talian 013 4557020 atau pejabat MRA di talian 03 91744672.

Jumaat lalu, gempa bumi kuat 7.5 magnitud menyebabkan tsunami melanda bandar Palu di kepulauan itu dan setakat ini lebih 1,200 orang dilaporkan terkorban – berita harian