KUALA LUMPUR: Malaysian Relief Agency (MRA) akan meneruskan bantuan perubatan kecemasan selama tiga bulan di Palu, Sulawesi, Indonesia sehingga akhir Disember ini.

Presiden MRA Dr Mohd Daud Sulaiman, berkata berdasarkan laporan yang diterima petugas pertama MRA sejak dua minggu lalu, banyak perkhidmatan Klinik Kesihatan Komuniti di Donggala dan Palu terjejas akibat kerosakan struktur bangunan.

“Susulan itu, pasukan perubatan kedua MRA yang terdiri daripada enam anggota perubatan akan bertolak ke Sulawesi pada 28 Oktober ini untuk menggantikan pasukan perubatan pertama yang akan pulang ke Malaysia sehari sebelumnya.

“Keadaan struktur bangunan yang tidak sesuai untuk digunakan menyukarkan mangsa gempa bumi mendapat bantuan rawatan perubatan segera,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dr Mohd Daud berkata, setiap hari klinik bergerak MRA menerima antara 50 hingga 150 pesakit di pusat pengungsian.

“Selain rawatan perubatan, MRA juga menumpukan rawatan trauma kepada kumpulan kanak-kanak di kawasan penempatan sementara.

“MRA dibantu rakan lapangan tempatan iaitu Dewan Dakwah Indonesia (DDI) mewujudkan sebuah pusat kanak kanak dan wanita dinamakan ‘Sekolah Hatiku Senang’ di kawasan pengungsian yang menempatkan hampir 200 keluarga,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga meletakkan 15 tangki air berkapasiti 5,000 liter di pusat penempatan.

“Untuk memastikan sumber air bersih dibekalkan secara berterusan, MRA merancang untuk melaksanakan 20 projek telaga air bersih dalam masa yang terdekat dengan kos RM10,000 setiap satu.

“Projek telaga air ini bakal memberi manfaat kepada lebih ramai penduduk yang menghadapi masalah kekurangan air bersih,” katanya.

Justeru itu, pihaknya mensasarkan jumlah bantuan kecemasan sebanyak RM500,000 pada fasa kecemasan dan rehabilitasi selama tiga bulan.

“Jumlah ini merangkumi projek semasa MRA seperti bantuan perubatan, pusat kanak-kanak dan wanita dan projek air dan sanitasi yang sedang dilaksanakan dan dirancang.

“Sumbangan rakyat Malaysia boleh dibuat melalui akaun Public Bank 39885 91608 atas nama Malaysian Relief Agency Foundation,” katanya

Menurutnya, orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi Mohd Fadhil Baharudin di talian 013-4557020 atau pejabat MRA di talian 03-91744672 – berita harian