KUALA KANGSAR: Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah berkenan mengisytiharkan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Sultan Azlan Shah sebagai nama baru bagi MRSM Kuala Kangsar, sempena nama ayahanda baginda Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah, Sultan Perak ke-34.

Pengisytiharan itu dibuat ketika baginda berkenaan mencemar duli merasmikan MRSM tersebut di sini, pada Khamis.

Turut berangkat Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim. Berangkat sama Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Puan Besar Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah serta Raja Di-Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah

Hadir sama menyaksikan perasmian itu Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz.

MRSM Sultan Azlan Shah yang merupakan MRSM ke-8 di Perak dan ke-50 di Malaysia telah dibina dengan kos RM66 juta serta siap sepenuhnya pada 2015.

Ketika ini ia menempatkan 725 orang pelajar.

Ismail Sabri di dalam ucapannya memberitahu penubuhan MRSM Sultan Azlan Shah itu merupakan manifestasi kerajaan dalam membangunkan rakyat melalui pendidikan.

“Sehingga kini MRSM telah melahirkan lebih 170,000 pelajar dan antaranya telah menjadi tokoh penting negara seperti pemimpin politik, korporat, usahawan berjaya dan pelbagai lagi.

“Sistem pendidikan MRSM telah dirangka agar kecemerlangan yang dicapai oleh pelajar adalah bersifat holistik dalam melahirkan modal insan berilmu serta berupaya menghasilkan pemimpin dalam pelbagai bidang yang berpotensi tinggi pada masa hadapan,” katanya.

Dalam masa sama, beliau memberitahu, di Perak sahaja terdapat 38 buah institusi pendidikan MARA, antaranya MRSM, Kolej Profesionnal Mara, Kolej Kemahiran Tinggi Mara dan Institut kemahiran Tinggi Mara.

“Melalui RMK-11 pula, sebanyak RM509 juta telah diperuntukkan bagi pembangunan projek dan program di negeri Perak,” ujarnya.

Beliau menambah antara projek itu ialah pembinaan MRSM Bagan Datuk, pembinaan kampus tetap KPTM Ipoh dan pembinaan semula GiatMara Tanjung Malim.

MB

48fb31fe-cc40-46d0-a887-b96ee5c058bc

c3d232f1-acef-4f59-9673-f20be7209a68