SERI MANJUNG – Sebuah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan kampus cawangan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) bakal dibina bagi merancakkan lagi pembangunan di daerah ini.

Ahli Parlimen Lumut, Dr Mohd Hatta Md Ramli berkata, pembinaan MRSM dan UPNM itu adalah bagi menjadikan daerah Manjung sebagai hub pendidikan selain terkenal dengan pelancongan buat masa ini.

“Untuk penubuhan MRSM kita sudah berbincang dengan Pejabat Daerah Manjung dan sedang menunggu isyarat daripada kementerian terlibat untuk membawa masuk sekolah berasrama penuh kerana Manjung merupakan satu-satunya daerah di negeri ini tidak mempunyai sekolah berasrama penuh.

“Kita juga sudah nyatakan hasrat kepada Mara dan sedang menunggu cadangan lengkap mengenai reka bentuk MRSM yang bakal dibina ini,” katanya kepada pemberita, ketika ditemui baru-baru ini di sini.

Mengenai pembinaan kampus cawangan UPNM, Mohd Hatta berkata, pihaknya sedang berusaha untuk memastikan universiti berkenaan dapat dibina di Lumut.

“Kita sedia maklum bahawa Lumut bandar Maritim kerana terdapat pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) tetapi tidak mempunyai sebuah pun IPTA berkaitan dalam memberi peluang kepada anak-anak tempatan melanjutkan pelajaran mereka.

“Kerana itu, saya melihat pembinaan kampus cawangan UPNM di sini adalah bertepatan dan pihak kami boleh menyediakan tanah sekiranya mereka mengatakan tiada tapak untuk membina universiti ini,” katanya – sinar