KUALA LUMPUR – Sistem Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Sungai Buloh-Kajang yang beroperasi mulai Isnin lalu dilengkapi dengan 6,018 buah televisyen litar tertutup (CCTV) bagi mengawasi keselamatan penumpang dan mencegah perbuatan jenayah.

Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik dan Hal Ehwal Pihak Berkepentingan MRT Corp., Datuk Najmuddin Abdullah (gambar kecil) berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 2,552 buah CCTV ditempatkan di dalam dan di luar tren MRT.

Menurutnya, setiap tren memiliki 44 buah CCTV dengan bakinya iaitu 3,466 kamera ditempatkan di 31 buah stesen MRT.

“Setiap stesen memiliki lebih 110 buah CCTV. Kesemua CCTV di dalam dan di luar tren serta di setiap stesen MRT dipantau 24 jam setiap hari demi menjamin keselamatan penumpang dan mencegah perbuatan jenayah,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

-KosmoOnline