PETALING JAYA : Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menarik balik syarat baru yang akan mengehad atau menafikan pencarum daripada rawatan dialisis percuma kerana langkah itu disifatkan tidak berperikemanusiaan.

Setiusaha Agung MTUC, J Solomon berkata, tindakan Perkeso meminda syarat kelayakan itu akan menjejaskan penerima dan pencarum baru menghidap kegagalan ginjal kronik yang berdaftar di bawah Skim Pencen Ilat, Bantuan Ilat serta Insuran Bencana Pekerjaan.

Di bawah syarat baru yang dikuatkuasakan sejak 10 Jan lalu itu, katanya, kelayakan pemohon untuk mendapat rawatan dialisis percuma terikat kepada tempoh dan jumlah caruman mereka kepada Perkeso.

“Dengan mengetatkan kriteria kelayakan, Perkeso mengehad dan dalam sesetengah kes menolak pencarum serta penerima yang menghidap penyakit ginjal tahap akhir daripada rawatan dialisis percuma,” katanya dalam kenyataan hari ini sambil menambah ramai daripada mereka yang menjalani dialisis tidak mampu membayar kos rawatan itu.

“Tindakan Perkeso menutup pintu kepada pekerja terpinggir bukan saja tidak berperikemanusiaan, tetapi bertentangan satu daripada nilai teras ‘penyanyang’ dan hasrat kerajaan membentuk masyarakat penyayang.”

Beliau berkata, golongan paling terjejas ialah pemohon baru di bawah Skim Bantuan Ilat yang langsung tidak akan mendapat rawatan dialisis percuma kerana tidak memenuhi syarat minimum baru.

“Keputusan Perkeso mengehad atau menafikan rawatan dialisis percuma kepada pemohon baru paling kejam kerana ia menjejaskan pekerja paling miskin.

“Contohnya pencarum di bawah Skim Bantuan Ilat adalah mereka yang tidak mampu memberi caruman bulanan secara tetap kepada Perkeso.”

Solomon berkata, syarat baru yang terkandung dalam pekeliling bertarikh 17 Jan itu menyatakan lembaga pengarah Perkeso meluluskan “pelan tindakan cadangan itu untuk merapatkan jurang aset dan liabilitinya serta menambah baik kemampanannya”.

Beliau mendakwa tindakan drastik Perkeso itu disebabkan penggunaan caruman majikan dan pekerja secara sembarangan untuk mengalihkan ratusan juta ringgit kepada bangunan dan projek diragui yang membawa sedikit atau tiada pulangan langsung.

“Laporan terbaru ketua audit negara turut mendapati RM40 juta tidak digunakan mengikut perancangan.”