BOTA: Penduduk Parit mesti bermuafakat untuk bersama-sama membangunkan kawasan itu dalam semua bidang, termasuk bidang pendidikan.

Calon bagi Parlimen Parit, Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria berkata, Parit tidak pernah dilupakan dalam apa juga pembangunan yang dirancang.

Beliau memberi contoh, dalam Manifesto Barisan Nasional (BN) baru-baru ini, sebuah lapangan terbang baru telah dicadangkan untuk dibina di Seri Iskandar.

“Maknanya orang Parit akan mendapat nikmat limpahan daripada projek mega itu,” katanya ketika ditemui selepas melakukan beberapa program kempen di sini hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah Diri berkata, selain itu, banyak lagi pembangunan yang berlaku di kawasan parlimen itu yang turut menjadikannya sebuah kawasan pembangunan baru.

Menurutnya, antara pembangunan itu ialah UiTM Seri Iskandar, Kolej Pengajian Tinggi Mara dan beberapa pusat membeli belah.

“Kita akan meneruskan pembangunan yang telah dirancang di samping merangka lebih banyak program pembangunan di sekitar Parlimen Parit,” ujarnya.

Sementara itu, beberapa program beliau yang bermula seawal jam 8.30 turut disertai calon DUN Bota, Khairul Shahril Mohamed, calon DUN Belanja, Khairudin Abu Hanipah.

Ketua UMNO Bahagian Parit yang juga Ahli Parlimen Parit, Datuk Mohd Zaim Abu Hassan, Timbalan Ketua UMNO Bahagian yang juga bekas ADUN Bota, Datuk Nasaruddin Hashim kelihatan turut sama membantu.