KUALA LUMPUR: Muafakat Nasional bersetuju mencalonkan Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebagai Perdana Menteri kelapan

Dalam satu kenyataan bersama, Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa, dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, mengumumkan 57 Ahli Parlimen Muafakat Nasional akan menyokong sepenuhnya pencalonan Muhyiddin.

“UMNO (dengan 39 Ahli Parlimen) dan PAS (dengan 18 Ahli Parlimen) selaku gabungan Muafakat Nasional bersetuju mencalonkan Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ahli Parlimen Pagoh sebagai Perdana Menteri kelapan untuk perkenan Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Sebelum ini, 36 Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) turut mencalonkan Muhyiddin yang juga Presiden parti itu, untuk jawatan Perdana Menteri.